PASIR PUTEH: Seorang pemuda tidak sempat mengedarkan 50 bungkus air ketum dan 1,600 biji pil Epam yang disimpan di sebuah rumah di Selising, di sini apabila kegiatannya dihidu pihak berkuasa, Khamis lalu.
Dalam serbuan kira-kira pukul 4.40 petang, polis turut merampas lima bungkusan berisi daun ketum yang belum diproses seberat 50 kilogram dipercayai dibeli suspek berusia 20 tahun dari pembekal di Kedah.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, kesemua air dan daun ketum serta pil Epam tersebut dianggarkan bernilai RM20,200.
“Ketika ditahan, remaja itu bersendirian dalam rumah yang disewa. Siasatan awal mendapati air ketum dan pil Epam tersebut adalah untuk diedarkan di pasaran tempatan sepanjang Ramadan ini.
“Pil Epam dipercayai untuk dicampurkan ke dalam air ketum untuk menambah tahap khayal peminum,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, di sini hari ini.
Kata Zaizul Rizal, dalam satu lagi kes berasingan di Selising pada pukul 11.45 malam hari sama, pihaknya merampas 800 biji pil kuda selepas menahan sebuah kereta Honda CRV dinaiki dua lelaki berusia 32 dan 45 tahun.
“Pada mulanya, pemeriksaan badan ke atas salah seorang suspek menjumpai tiga biji pil kuda dan satu botol serbuk disyaki heroin. Selepas pemeriksaan dalam kenderaan, polis menjumpai satu bungkusan plastik mengandungi 800 pil kuda dianggarkan bernilai RM8,030.
“Siasatan lanjut mendapati suspek pertama mempunyai 17 rekod kesalahan narkotik dan dua rekod jenayah manakala suspek kedua mempunyai empat rekod narkotik. Kedua-duanya direman untuk siasatan lanjut sehingga 7 April ini,” katanya.
Kata beliau, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 manakala kes kedua disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN