KANGAR : Ruang untuk UMNO dan Pas bekejasama menerusi Muafakat Nasional (MN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih ada asalkan kedua-kedua parti itu terus berusaha menyelesaikan masalah atau pertikaian yang ada.
Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, alangkah sayangnya kalau MN terkubur begitu sahaja sedangkan penubuhannya masih tidak sampai satu penggal malah belum sempat lagi bersama dalam menghadapi pilihan raya.
Katanya, sebagai ahli politik lama yang berlawan dengan Pas sejak sekian lama mendapati MN adalah suatu anugerah Allah SWT yang beliau sendiri tidak pernah membayangkan akhirnya kedua-kedua parti tersebut dapat bekerjasama dan memulihkan perpecahan orang Melayu Islam.
“Saya yakin, ruang itu (kerjasama UMNO dan Pas) masih ada, asalkan kita usaha dengan nawaitu baik dan Insya-Allah natijahnya juga baik. Sayang MN yang tidak sampai satu penggal tidak sempat dibawa ke pilihan raya.
“Kita buat MN dengan tujuan hendak kuasai pilihan raya akan datang, tiba-tiba bila ada senjata yang bagus di tangan kita bagi memasuki medan perang dicampak begitu saja. Sangat rugi,” katanya ketika ditemui selepas mengunjungi Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin di Kompleks Pas Kangar di sini hari ini.
Tambah Annuar merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia, dalam piagam atau memorandum persefahaman (MoU) MN yang dimeterai sebelum ini terdapat satu perkara atau fasal bahawa sekiranya terdapat pertikaian atau masalah dalam kerjasama UMNO dan Pas perlu diselesaikan mengikut seperti piagam Madinah.
Katanya, seperti piagam Madinah yakni jika ada sebarang pertikaian kembalilah merujuk kepada al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan bagi menyelesaikan masalah berbangkit.
“Saya sebagai seorang yang terlibat dengan mendalam sewaktu pembentukan Muafakat Nasional dan saya masih ingat pada waktu itu, di saat akhir sewaktu hendak menandatangani MoU tersebut, Presiden UMNO ada mengarahkan saya pada waktu itu untuk membuat sedikit pindaan pada para terakhir.
“Ia mencadangkan bahawa membentuk kerjasama antara UMNO dan Pas ini, kalau ada pertikaian, masalah kita ikut seperti piagam Madinah itu. Jadi ungkapan itu kita masukkan.
“Dalam perjalanan MN ketika ini, kelihatan ada masalah malah ada ungkapan berbaur politik tidak lagi mendukung semangat yang ada dalam piagam tersebut. Jadi jika ada masalah, kembalilah kepada perkara tersebut,” katanya.
Katanya lagi, Presiden UMNO pada masa itu arahkan dan bersetuju perkara atau fasal itu dimasukkan di dalam MoU berkenaan.
“Jadi saya rasa, tidak harus ditinggalkan begitu saja. Kalau kita kebuntuan, masalah kembalilah kita kepada al-Quran dan hadis. Sebab itu saya tidak pernah berputus asa dalam usaha menyelamatkan MN ini,” katanya.
Sementara itu, Hashim berkata, beliau seolah-olah mendapat semangat dan tenaga baharu dalam usaha menyelamatkan perpaduan ummah ini selepas bertemu Annuar dan membincangkan berhubung soal itu.
“Kami berazam, apa pun halangan ke hadapan, kita akan teruskan perjuangan ke arah perpaduan ummah ini. Pas masih melihat kebaikan daripada kerjasama MN ini,” katanya.-UTUSAN