KUALA TERENGGANU: Seorang anggota polis berpangkat lans koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada suspek kes rogol berkumpulan, tahun lalu.
Tertuduh, Norazmi Afiq Mohd. Solleh, 27, yang bertugas di Balai Polis Dungun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Dazuki Ali.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menerima suapan berjumlah RM2,500 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kes berkenaan di sebuah kedai makan di Dungun pada pukul 3.15 petang, 30 Mei lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengambil rasuah sebanyak RM2,000 daripada seorang lelaki lain bagi tujuan sama di tapak Pasar Malam Sura Gate, Dungun pada pukul 9.40 malam, 23 Mei 2021.
Dia juga didakwa meminta suapan RM10,000 daripada dua lelaki berkenaan pada 19 Mei 2021.
Norazmi Afiq didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 16(a)(B) akta sama, yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Nur Athikah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, Najmi Adila Mat Nasir.
Mahkamah menetapkan 17 Mei ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin di samping syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM setiap awal bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa. – UTUSAN