MENYENTUH mengenai pelakon dan selebriti serba boleh yang seorang ini, pastinya ramai yang akan bersetuju, Ifa Raziah adalah antara artis yang tidak pernah kering dengan kontroversi.
Ada sahaja isu yang akan membabitkannya timbul. Paling tidak, terjebak bergaduh dengan artis si polan atau si polan. Itu orang yang cakaplah. Bukan kita yang saja-saja nak mereka cerita. Tak percaya, boleh buat carian sendiri di Internet.
Tapi, kalau cakap pasal ‘suka’ bergaduh inilah, baru-baru ini ada seorang pelakon dan pengacara dari Singapura yang pernah berseteru ada membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Ifa.
Difahamkan, ia cuma menerusi temu bual bersama media di sebuah majlis. Tidak pastilah sejauh mana ‘sampainya’ kata maaf itu kepada Ifa si empunya badan. Dengarnya macam tidak. Tak tahulah.
Mungkin boleh ditanyakan terus kepada pelakon berusia 47 tahun ini.
Kalau ternyata ada yang membuat permohonan maaf, adakah Ifa sendiri sudi memaafkan?
Khabarnya ada artis yang pernah bergaduh dengan Ifa dah buat permohonan maaf kononnya secara terbuka baru-baru ini. Setelah hampir lima tahun tidak bertegur sapa dan seteru itu berlaku. Apakah Ifa tahu hal ini?
Artikel saya tak baca. Hanya terima amanat daripada seorang kawan artis lain daripadanya. Katanya, dia nak berbaik dengan saya. Tapi, kenapa nak gunakan orang? Kenapa tak terus kepada saya?
Khabarnya juga dia ada maklumkan nak mesej Ifa secara peribadi. Ada terimakah?
Dia ada mesej saja di Whatsapp minggu lepas. Tapi saya tak baca atau respons apa-apa. Sebab? Bukan caranya begitu. Kalau dulu dia boleh buat sidang media, buat live untuk kata saya macam-macam, kenapa tak buat cara sama? Kenapa bila nak bermaafan, kena senyap-senyap? Kenapa bila nak buka pekung dan aib saya diuar-uarkan pula dulu? Siap boleh buat laporan polis lagi tuduh saya upah pembunuh untuk tembak dia. Tergamak dia tuduh sahabatnya sebegitu sekali?
Maksudnya masih berbekas di hati Ifa tentang apa yang dilakukan oleh si polan itu sebelum ini hingga ke hari ini?
Daripada perbuatan terhadap saya, suami dan anak, dia kena bersihkan nama saya dulu. Kalau dulu dia boleh buat sidang media, jadi buatlah juga begitu? Bersihkan nama dan tuduhan-tuduhan melampau itu. Lepas itu, dia kena datang berjumpa dengan saya. Cakap depan-depan. Itu syaratnya kalau nak minta maaf betul-betul. Saya tak nak diri ini dijadikan satu daripada bahan kandungan atau konten dia semata. Maklum sajalah, cerita pengsan dia sudah tak boleh nak yakinkan orang, sekarang nak petik pula nama orang lain.
Menerusi apa yang pernah berlaku lima tahun lalu, adakah ini bermakna Ifa juga tidak boleh nak memaafkan?
Susah untuk saya berkata maaf. Dia sendiri juga tahu yang saya tak akan maafkan dia. Bila dia tiba-tiba muncul nak meminta maaf, saya tak dapat tolak perasaan bahawa ini satu konten. Dalam pada sudah tak berkawan, dia tetap nak nampakkan saya jahat di mata masyarakat sebab dia sudah tahu saya tak akan maafkan dia. Nampak saya yang keji. Saya dengan dia berkawan selama 20 tahun dulu, sudah tahu apa propaganda dia. Nak jadikan saya sebagai satu cara untuk meraih publisiti? Tolong sikit ya, saya tak akan baut begitu. Kenapa pula nak berikan publisiti kepada dia?
Terus-terang, adakah selama Ifa tak berkawan dengan mereka yang seperti ini, timbul rasa ralat? Iyalah pernah jadi sahabat bukan?
Kalau nak tahu, hidup saya tenang, makin bahagia, makin kaya selama tak berkawan dengan orang begini. Tak ada kawan macam ini pun tak apa. Allah SWT dekatkan saya dengan orang-orang yang baik, yang nak berkawan dan hargai persahabatan dengan saya. Mungkin juga Tuhan itu telah memakbulkan segala doa agar saya dijauhkan daripada orang begini. Depan Kaabah di Mekah saya berdoa.
Tapi ada juga yang anggap oh mereka yang nak minta maaf dengan Ifa ini sebab sekarang lihat Ifa dah kaya dan ada banyak projek acara, jadi mereka pun nak menghimpit.Komen?
Eh, mana ada saya ini kaya. Saya tak ada banyak ‘job’ pun. Orang-orang itu semua selalu kata saya ini artis paling sangkak di Malaysia, bukan begitu? Tak payah harap apa-apa daripada saya. Nak berkawan balik? Apa motif kau? Luka yang berdarah itu perlu dirawat dulu. Baru boleh cerita pasal kemaafan terindah di Aidilfitri. Apa dia buang tabiatkah tiba-tiba nak minta maaf ini? Semua orang boleh berkata maaf, tapi hati itu ikhlas tak?