Minit mesyuarat PN tular adalah 'sampah', palsu - Pas - Utusan Malaysia

Minit mesyuarat PN tular adalah ‘sampah’, palsu – Pas

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pas menafikan dakwaan kononnya parti itu mengatur gerakan untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagaimana dokumen minit mesyuarat Perikatan Nasional (PN) yang tular di media sosial.

Perkara itu disahkan Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sambil menyifatkan butiran dokumen berkenaan adalah palsu dan sampah bagi memfitnah Pas serta PN.

“Dokumen sampah macam tu ada orang percaya juga? Saya gelak membacanya sebab eja nama saya pun tidak betul.

“Ia tidak benar dan saya tidak tahu datang daripada mana, bagi saya ia adalah sampah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas menyerahkan bantuan pendahuluan diri dan persediaan kepada tiga penerima biasiswa skim pelajar cemerlang luar negara 2022 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Terdahulu, tular beberapa dokumen minit mesyuarat PN mengenai pertemuan antara Ahmad Samsuri dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengan beberapa pemimpin parti lain pada 24 dan 27 Mac di samping 4 dan 7 April lalu.

Antara pemimpin itu ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diikuti Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri mengakui wujud pertemuan dengan pemimpin disebutkan dalam dokumen tular itu namun, butiran terperinci mengenainya adalah rekaan semata-mata.

“Pertemuan ada cuma kapasiti yang berbeza dan dicampur-campur, mungkin orang itu tahu ada pertemuan, maka dibuatlah naratif sebegitu,” katanya.

Menurut Ahmad Samsuri, Pas belum memikirkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar berita palsu itu kerana proses mahkamah yang rumit dan mengambil masa.

“Kita pun tidak tahu siapa yang menyebarkannya dan proses undang-undang pun rumit, ibaratnya tiada kerja lain kalau hari-hari kena membuat laporan polis serta ke mahkamah kerana isu viral,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya