LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) mempunyai program berterusan dalam memastikan golongan asnaf di negeri Selangor terus mendapat pembelaan dan bantuan untuk mereka meneruskan kehidupan.
LZS turut mengambil kesempatan sempena Ramadan ini dengan menganjurkan Program Ziarah Kasih Ramadan bagi menjelajah ke seluruh negeri untuk membantu asnaf termasuk dari kalangan golongan orang kurang upaya (OKU).
Baru-baru ini melalui Program Ziarah Kasih Ramadan LZS 2022 bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), mereka telah menziarah golongan kurang bernasib baik di Kampung Tengah, Puchong.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini program itu adalah antara pihak MBSJ dan LZS untuk membantu golongan asnaf di dua kawasan bagi mengurangkan beban mereka selepas banjir besar tahun lalu.
“Kita telah memilih 12 penerima melibatkan enam keluarga dari Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 6 dan enam keluarga dari MPP Zon 12,” ujarnya.
Turut menerima bantuan adalah penerima zakat yang menghidap penyakit kepala besar, Norli Asma Zulhaimi, 23, yang terlantar dengan kehidupan seharian bergantung sepenuhnya kepada ibunya, Norhayati Said. – UTUSAN