Menghimpun lagu-lagu insaf untuk Ramadan: Titik ke titik

Menghimpun lagu-lagu insaf untuk Ramadan: Titik ke titik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“YANG fana adalah waktu; kita abadi,” kata Sa­par­di Djoko Damono.

Benar, waktu akan habis. Ruang akan habis. Dunia akan habis. Tapi kita abadi. Cuma apabila sampai masa nyawa kita ditarik, kita akan berpindah ke ruang dan waktu yang lain.

Kita abadi di sana bersama bekal amal dan doa.

Satu hal yang saya suka tentang Ramadan, ia bagai tanda masa kehidupan. Titik yang kita tanda pada peta hidup.

Kita mengira, Ramadan ini aku hidup dan masih berke­sempatan menikmatinya. Kita renung, adakah Ramadan sete­rusnya kita masih hidup? Kita tanda titik Ramadan ini dan berjalan menuju titik Ramadan seterusnya.

Slagi Ada Waktu oleh Monoloque

Dari Tuhan kita datang dan kepada Tuhan juga kita kembali. Perjalanan kita bermula dari titik asal dan kembali semula ke titik asal tersebut. Jadi, jika rasa diri sesat jalan, carilah panduan dari titik asal itu.

Seperti kisah dongeng Hansel dan Gretel, mereka meninggalkan jejak supaya tahu jalan pulang ke rumah selepas dibawa masuk jauh ke dalam hutan. Begitu juga kita. Untuk memohon panduan Tuhan, tinggalkan jejak, jangan pernah buang Tuhan dari hati. Jangan sesat tanpa jejak.

 

Arus oleh Salammusik

Menolak nikmat dunia bukan mudah. Saya percaya bahawa kehidupan adalah ruang untuk kita mencari makna yang kemuncaknya ialah kebenaran dalam agama. Hanya dalam agama kita bertemu kekudusan. Ada orang berhasil bertemu makna hidup sebelum ajal. Ada yang tidak sempat, bertemu ajal dalam jahil.

Manusia, walau sehebat mana akal dan tenaganya, adalah makhluk yang lemah dan rapuh. Untuk berhasil melawan arus dunia, manusia perlu tanam akar yang tunjang dan panjang agar tidak hanyut.

Maka, manusia mencari panduan dan membentuk sistem dari panduan itu. Sistem itu adalah air, tanah, baja dan nutrien. Panduan itu agama. Semakin panjang kita mencari panduan dengan air, tanah, baja dan nutrien yang betul, semakin kukuh kita berpegang pada agama. Kita sukar hanyut.

Luluh oleh Pesawat

Cabaran besar generasi baharu dunia ialah kesiha­tan mental. Manusia dahulu mencipta sistem dengan harapan generasi baharu akan berpegang kepadanya. Tetapi manusia lemah dan rapuh. Tiada sistem yang sempurna kerana penciptanya manu­sia dan penggeraknya manusia.

Generasi baharu disuguh sistem yang tidak sempurna dan ia mengecewakan. Ia mendorong mereka membenci sistem yang dianggap rosak. Sistem dibenci, akar pun tak sempat panjang.
Kita hilang segala arah dan tujuan hidup. Dunia dilihat rosak dan berserabut. Jiwa ber­kecamuk dan kita keletihan. Kita kabur mencari petunjuk kerana telah hilang punca.

Hilang oleh Bittersweet

Persoalan kewujudan akan terus menghantui generasi baharu yang kehilangan panduan selepas ditumbuk kecewa terhadap generasi lama. Untuk mereka yang gagal dalam pertempuran kewujudan, mereka melihat kehidupan sebagai kebinasaan. Nyawa dilihat tiada nilai dan nafas dianggap beban. Pandangan alam menjadi nihil.

Namun sebenarnya, nyawa ialah tanggungjawab dan nafas ialah peluang. Selagi nafas dihembus, kita masih berpeluang mencari jalan yang benar. Kita hanya perlukan semangat dan keyakinan. Renung luar jendela, titiskan air mata, jernihkan segalanya. Waktu belum terlewat untuk kita ubah haluan hidup yang pernah salah.

Kembara oleh Hujan

Kembara kita masih jauh, berselindung dosa kita tempuh. Saya was-was mahu tulis karangan sebegini. Saya sendiri bukan orang yang baik untuk berpesan sebegini. Namun saya percaya, apa yang dipesan lebih penting daripada siapa yang memesan. Mungkin saya terlalu lemah untuk buat apa yang saya sendiri pesan, tapi saya percaya pesan ini ada gunanya untuk pembaca.

Ini bukan syarahan agama, cuma muntahan idea yang dijana ketika saya ralit mendengar keenam-enam lagu ini. Ditemani sayu waktu sahur, saya harap apa yang ditulis ada manfaatnya buat semua.

Buat para pendosa seperti saya, jangan pernah ragu pada kuasa mengampun Tuhan. Selagi kembara bersisa, kita cari jalan pulang yang benar. Andai rebah, pasti masih ada ruang. Kembara kita masih jauh, berselindung dosa kita tempuh.

Dosa oleh Edy J. Herwan, Noh Salleh dan Fynn Jamal

Jangan memandu sambil memandang cermin sisi sepanjang masa. Pandang hanya bila perlu. Begitulah kehidupan. Masa silam yang kotor untuk diinsafi, dijadikan sempadan. Bergeraklah ke hadapan dengan azam baharu untuk membaiki diri.

Manusia tidak dapat lari dari melakukan dosa namun yang penting, apa yang kita buat dengan dosa itu? Kita kenang dan kesal atau dibiarkan jadi longgokan sampah yang membusuk? Kita takut, malu dengan dosa lama atau kita bangga?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya