Memo panduan untuk guru buat aksi ‘live’ di media sosial - Utusan Malaysia

Memo panduan untuk guru buat aksi ‘live’ di media sosial

RADZI Jidin bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bergambar dengan pelajar selepas Majlis Pelancaran GEGAR -18 (Generational End Game Anti Rokok) di SMK Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Md. Jidin memberi bayangan akan ada garis panduan khusus untuk guru dapat membuat ‘persembahan’ melalui wadah media sosial.

Langkah itu juga katanya, adalah perlu bagi memastikan ia tidak menjejaskan aib mana-mana pihak terutama murid yang mungkin malu apabila jawapan diberi ketika disoal adalah salah.

“Insya-Allah, perkara ini sedang diperincikan sebab kita sedar ada kesan yang besar terhadap pelajar itu dan tidak akan hilang sampai bila-bila apabila kandungan dikongsi tular,” jelasnya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Generational Endgame Antirokok (GEGAR-18) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra di sini.

Terdahulu, pengguna media sosial beberapa kali digemparkan dengan aksi secara langsung guru tertentu yang mengajar sambil berhibur menerusi aplikasi popular TikTok dan sebagainya.

Bagaimanapun, ramai kalangan warganet mempersoalkan kaedah pengajaran secara ‘live’ itu apabila ada murid yang malu diketawakan rakan sekelas apabila dia gagal menjawab soalan.

“Setakat ini pihak kementerian tidak begitu menggalakkan cara pengajaran interaktif berkenaan meskipun ia dibuat sekadar hiburan ringan. Kita sendiri sudah maklumkan bahawa jika boleh elak kaedah sedemikian dan saya faham ada guru mahu murid tidak bosan atau letih tetapi biarlah cara masih ada batasan,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan pendidik terbabit supaya lebih kreatif jika perlu kelas secara maya kerana bimbang murid yang terkesan, mungkin tidak berminat mengikutinya selepas itu.

Mengulas usaha Kementerian Kesihatan bagi menamatkan generasi perokok untuk murid lahir selepas tahun 2005, beliau menyokong langkah tersebut sebagai amat tepat pada waktunya.

Tambahan pula jelasnya, semua institusi pendidikan di negara ini termasuk jenis aliran sekolah merupakan kawasan larangan merokok sejak diwartakan oleh pihak kerajaan pada 1997 lalu.

“Kementerian juga sedia memberi segala sokongan yang diperlukan dan berharap rang undang-undang antirokok bakal dibentangkan di Parlimen pada Julai depan dapat diluluskan. GEGAR-18 ini turut ada pelan lima tahun bagi memastikan tiada lagi generasi perokok di Malaysia dan kita bekerjasama dengan semua pihak bagi menjayakannya,” kata Mohd. Radzi.

Ketika ini dianggarkan 22 peratus atau sekitar tujuh juta rakyat Malaysia ialah perokok iaitu tangga ke-72 paling ramai di dunia dengan 10,000 kematian setahun akibat komplikasi merokok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya