MELAKA: Selepas 11 bulan beroperasi, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh dekat sini ditutup secara rasminya mulai hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Salleh berkata, ekoran itu, Kolej Jururawat di Hospital Melaka dijadikan sebagai pusat rawatan sementara bagi pesakit kategori dua ke atas atau mana-mana individu yang perlu menerima rawatan serta dipantau petugas kesihatan.
Katanya, kolej berkenaan mampu menyediakan antara 200 hingga 300 katil bagi merawat pesakit Covid-19.
Beliau berkata, jika berlaku peningkatan kes secara mendadak selepas ini, pihaknya bercadang membuka Hospital Covid-19 sama ada di Hospital Alor Gajah atau Hospital Jasin.
“Cadangan ini bertujuan kerana tidak mahu membebankan Hospital Melaka sehingga boleh mengganggu pesakit yang bukan disebabkan Covid-19.
“Ini adalah antara cadangan-cadangan jika berlaku peningkatan kes Covid-19 di luar jangkaan dan buat sementara waktu, Kolej Jururawat di Hospital Melaka menjadi penempatan mana-mana pesakit yang dimasukkan ke hospital untuk pemantauan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan perasmian penutupan PKRC MITC di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, kadar kemasukan pesakit di Hospital Melaka adalah sebanyak 13 peratus manakala kadar kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) pula hanyalah 9.4 peratus.
Katanya, ia menunjukkan penurunan yang sangat baik di mana sepanjang tiga hari berturut-turut, kes Covid-19 mencatat dua angka.
“Sejak PKRC MITC dibuka pada 21 Mei tahun lalu dengan kapasiti 100 katil, seramai 26,159 bagi kategori 1 hingga 3 mendapat rawatan di situ serta melibatkan 315 petugas daripada pelbagai agensi,” jelasnya. – UTUSAN