MELAKA: Kerajaan negeri akan membangunkan Taman Sigua atau Taman Mini Biawak membabitkan kos RM8 juta bagi penjenamaan semula Pirate Park, tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin berkata, projek itu adalah usaha untuk mengembalikan kemeriahan Pirate Park yang terpaksa ditutup kerana masalah peralatan.
Jelasnya, kerja-kerja pemulihan taman rekreasi di Jalan Tun Ali, Kampung Bunga Paya Pantai itu akan dilaksanakan pada tahun ini membabitkan kerjasama beberapa agensi lain.
“Taman Pirate Park terpaksa ditutup kerana masalah peralatan dan kemudiannya kita berhadapan pula dengan pandemik Covid-19, langsung tidak boleh digunakan terus tempat riadah ini.
“Jadi kita membuat perbincangan dan bersetuju untuk menjenamakan taman ini sebagai Taman Sigua yang membawakan imej biawak dengan kos pembangunan sebanyak RM8 juta,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan Majlis Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang di Hotel LaCrista di sini, malam tadi.
Murad berkata, taman itu akan ditawarkan kepada pelancong melalui pakej Melaka River Cruise (MRC).
“Dulu Pirate Park membawa konsep utama taman tema permainan, namun Taman Sigua ini mempunyai pelbagai aktiviti riadah yang boleh dilakukan bersama keluarga. Semua yang naik bot MRC akan berpeluang ke Taman Sigua, kita sediakan pakej menarik untuk mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu, Murad berkata, PPSPM menyasarkan seramai 700,000 pelancong akan menggunakan bot MRC pada tahun ini.
Katanya, sejak Januari sehingga Mac lalu, MRC menerima 167,688 pengunjung iaitu melebihi sasaran suku tahun pertama yang ditetapkan seramai 145,000 orang. – UTUSAN