PUTRAJAYA: Hidangan mi goreng, kuetiau atau bihun goreng pastinya sudah biasa dimakan sesiapa sahaja. Tetapi bagaimana pula dengan masakan Mee Tonggek?
Memperkenal kelainan pada hidangan mi, Mee Tonggek menjadi daya tarikan utama pengunjung di Bazar Ramadan Putrajaya kerana citarasanya berlainan menggunakan ramuan istimewa turun temurun.
Pengusahanya, Mahadzir Zakaria berkata, hidangan Mee Tonggek hanya dijual pada bulan Ramadan setiap tahun sejak 2008.
Bagaimanapun, katanya, pada tahun ini, dia memperkenal tambahan menu istimewa iaitu disertakan dengan udang galah serta sotong besar saiz XXL.
“Mee Tonggek ini adalah resipi keluarga di Kedah sejak tahun 1980-an. Walaupun ada beberapa tempat lain menggunakan nama sama, tetapi Mee Tonggek asli hanya boleh didapati di Bazar Ramadan Putrajaya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Mahadzir, sebanyak 600 ke 700 pek Mee Tonggek terjual sama ada kuetiau goreng atau bihun goreng dengan harga RM4 sebungkus.
Jika pelanggan mahu menambah udang galah atau sotong, setiap satu dijual pada harga RM25 yang pastinya tidak menghampakan pembeli dengan rasa istimewa.
“Saya memilih nama ini bagi mencipta keunikan dan mahu orang ramai ingat dan tercari-cari gerai kami pada setiap kali Ramadan.
“Memang ternyata pengunjung datang mencari Mee Tonggek kami kerana menurut mereka rasanya amat berlainan berbanding yang lain,” katanya yang hanya memilih lauk sotong dan udang galah segar.
Mahadzir berkata, dia mula masak secara langsung di gerai dibantu tujuh pekerja sejak pukul 3 petang supaya pengunjung tidak menunggu masa lama sebagai persediaan berbuka puasa.
Selain terkenal dengan jualan Mee Tonggek, dia turut mengusahakan restoran Bawal Power Sempoi yang terletak di Putrajaya, Cyberjaya dan Bangi. – UTUSAN