PONTIAN: MCA Bahagian Pontian kesal dengan tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap Ketua Bahagian itu, Datuk Tee Siew Kiong berikutan kritikannya pada sidang akhbar sempena pemilihan calon-calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan, cawangan-cawangan MCA dalam Bahagian Pontian berkecil hati dengan kepimpinan pusat parti berkenaan yang dilihat tidak mengutamakan kepentingan parti dalam hal itu.
Katanya, walaupun semua pihak bekerja keras untuk parti, namun sikap berpuak-puak yang hanya mementingkan agenda parti telah menafikan pemimpin seperti Siew Kiong untuk memimpin PRN Johor.
“Walaupun Siew Kiong kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), beliau tetap berkhidmat kepada pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang yang dimenanginya sebelum itu. Apa yang kami kesalkan, pemimpin MCA pusat langsung tidak memaklumkan kepada MCA Bahagian Pontian mengenai pertukaran kerusi DUN pada PRN Johor baru-baru ini,” kata kenyataan itu.
Pada PRN Johor, DUN Pulai Sebatang yang sebelum ini diwakili Siew Kiong selama empat penggal diserahkan kepada UMNO yang diwakili calonnya, Hasrunizah Hassan sebelum Ketua Wanita UMNO Pontian itu berjaya merampas semula kerusi itu yang jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14.
Pada Khamis lalu, Siew Kiong menyatakan kesediaan menghadapi sebarang tindakan yang akan dikenakan terhadapnya termasuk terlucut keahlian selepas dipanggil menghadiri Perbicaraan Jawatankuasa Tatatertib MCA.
Sementara itu, Jawatankuasa MCA pusat dan negeri perlu memberi penjelasan mengenai kegagalan Presiden untuk mempertahankan kerusi DUN Pulai Sebatang yang sebelum ini dikhususkan kepada MCA.
“Beliau (Siew Kiong) merupakan seorang pemimpin yang berkemampuan, tetapi kini beliau dinafikan haknya disebabkan oleh agenda peribadi seseorang,” katanya.
Menurutnya, tindakan sedemikian sebenarnya yang bertujuan untuk menghentikan perjalanan politik Siew Kiong hanya akan memberikan kesan kepada parti pada masa akan datang.
Sehubungan itu, MCA Bahagian Pontian terus menyokong Siew Kiong dan akan menentang sebarang ketidakadilan yang dilakukan oleh pemimpin pusat ke atas bekas Exco negeri Johor itu. – UTUSAN