GUA MUSANG: Dianggarkan 2,000 pengunjung singgah di Masjid Razaleigh, di sini setiap hari sama ada untuk solat atau merakam gambar, sejak masjid yang mirip dengan Masjidil Haram di Mekah itu dibuka secara rasmi 1 April lalu.
Sebagai nilai tambah supaya masjid ikonik Kelantan yang berharga RM34 juta itu terus menggamit kehadiran pelancong, sebuah replika Kaabah turut dipasang di bahagian tengahnya sejak dua hari lalu.
Uniknya replika tersebut, ia dibina hasil gabungan bongkah skrin LED berteknologi canggih yang sentiasa memaparkan ayat-ayat suci al-Quran atau kandungan khutbah disampaikan oleh imam masjid itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim mewakili pengurusan masjid berkata, idea untuk membina replika Kaabah dicetuskan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
“Replika kaabah ini diyakini mampu menjadi tarikan baharu pelancongan. Malah, ketika kerja-kerja pemasangan replika itu pun sudah ramai yang memenuhi Masjid Razaleigh untuk melihatnya lebih dekat.
“Sepanjang Ramadan ini, ramai perantau singgah solat di Masjid Razaleigh sehinggakan ada yang sanggup bermalam di Gua Musang semata-mata mahu bertarawih di sini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohd. Syahbuddin turut berkata, pihak pengurusan kini giat membuat persiapan untuk membuka lebih banyak ruang di Masjid Razaleigh bagi membolehkan kapasiti 4,000 jemaah solat sunat Aidilfitri pada 1 Syawal kelak.
Sementara itu, pelancong dari Kuala Lumpur, Muhamad Harun Ismail, 53, berkata, dia teruja apabila Masjid Razaleigh akhirnya dibuka kepada orang ramai selepas tertangguh selama dua tahun akibat Covid-19.
“Keluarga saya tidak jadi menunaikan umrah tahun ini kerana Covid-19, jadi, kami melawat Masjid Razaleigh yang mirip Masjidil Haram untuk melepaskan rindu terhadap tanah suci Kota Mekah.
” Sebelum ini, kami hanya melihat keindahan masjid ini menerusi laporan dan gambar-gambar yang tular di media sosial seperti Facebook. Hari ini kami seronok dapat tengok sendiri dan solat di sini,” katanya.- UTUSAN