Maqis rampas sosej daging babi positif African Swine Fever (ASF) 

Maqis rampas sosej daging babi positif African Swine Fever (ASF) 

SOSEJ daging babi dirampas Maqis di KLIA disahkan positif ASF. - FOTO/IHSAN MAQIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Sosej daging babi anggaran berat 10 kilogram (kg) yang disahkan positif African Swine Fever (ASF) dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 26 Mac lalu. 

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dalam kenyataannya memaklumkan, sosej tersebut dibawa masuk oleh individu warga China serta dikesan selepas pemeriksaan bagasi dijalankan pukul 3 petang. 

“Beberapa sampel telah diambil daripada sosej daging babi tersebut untuk diuji di Makmal Kesihatan Awam Veterinar (MKAV). Hasil ujian makmal mendapati sosej bernilai RM350 itu positif untuk pengesanan penyakit ASF,” katanya di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Maqis menjelaskan, prosedur ujian ini dilakukan bagi mencegah penularan wabak penyakit dan dikhuatiri jika tidak dikawal boleh menyebabkan industri ternakan babi negara terjejas. 

Susulan itu, kesemua sosej yang dirampas akan dilupuskan mengikut Prosedur Operasi Piawaian yang telah ditetapkan.

Mengulas lanjut, Malaysia mengenakan larangan membawa masuk produk babi dari negara yang mengalami wabak penyakit ASF termasuk penumpang di laluan udara yang membawa bagasi bagi menghalang risiko kemasukan penyakit itu dapat dicegah.

“Virus ASF ini tidak akan menjangkiti manusia dan ia hanya menjangkiti babi sama ada babi peliharaan atau babi hutan. 

“Penyakit ASF sangat mudah merebak dan mampu menyebabkan kadar kematian yang sangat tinggi sehingga 100 peratus dalam kumpulan babi peliharaan sekali gus boleh melumpuhkan industri ternakan babi dalam masa singkat,” ujarnya.

Sehubungan itu, penyampaian maklumat mengenai penyakit ASF akan dipertingkatkan agar rakyat Malaysia dan pelancong luar negara peka mengenai larangan yang dikenakan ke atas pengimportan dan kemasukan produk babi ke negara ini.

“Quarantine Bin di lapangan terbang telah disediakan bagi memudahkan penumpang membuang produk yang dikawal atau dilarang masuk secara sukarela.   

“Mana-mana penumpang yang melanggar peraturan itu akan diambil tindakan perundangan di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728],” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya