KLANG: Ramadan menjelang tiba, namun kegembiraan itu tidak dirasai mangsa banjir di daerah ini apabila belum menerima wang Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 daripada kerajaan Persekutuan.
Mangsa ketika ditemui meluahkan, belum mendapat maklum balas daripada pihak Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang meskipun sudah menghantar borang tersebut serta permohonan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) pada Disember lalu.
Seorang mangsa, Nur Fatiha Abdullah, 45, berkata, dia sudah pergi ke PDT Klang untuk bertanyakan perkembangan permohonan dan bila kelulusan BWI dan BSB akan diberi.
“Namun pegawai di pejabat tersebut sekadar memberitahu akan menghubungi saya sekiranya mereka sudah mendapat peruntukan bagi bantuan tersebut.
“Saya pulang ke rumah dengan hampa dan terus menunggu bantuan itu. Sehingga hari ini, belum menerima sebarang panggilan daripada pihak PDT Klang,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Kelab Kebajikan dan Sosial Meru Selatan, Meru, di sini, hari ini.
Bagi Nazziruddin Aking, 49, dia berharap BWI secepat mungkin kerana menggunakan wang tersebut bagi membeli beberapa barang untuk Hari Raya Aidilfitri.
Setakat ini menurutnya, dia hanya menerima RM1,000 yang diperuntukkan melalui BSB dan e-rebat barangan elektrik berjumlah RM500 daripada Persekutuan.
“Apapun, saya akan terus bersabar untuk menunggu duit bantuan itu,” katanya yang tinggal sebuah rumah teres di Jalan Kassim, di sini.
Sebelum ini, Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, Tan Sri Noh Omar meminta mangsa banjir yang belum mendapat BWI atau BSB supaya menghubungi PDT masing-masing atau Pejabat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Kebajikan dan Sosial Meru Selatan, Mohd. Najib Othman berkata, dia menganggarkan lebih 500 penduduk di Meru yang belum mendapat BWI.- UTUSAN