PUTRAJAYA: Malaysia dan Brunei bersetuju untuk menyambung secara berperingkat kerja penandaan sempadan darat antara kedua-dua negara yang berjiran di pulau Borneo itu.
Menurut kenyataan Wisma Putra menerusi hantaran dalam laman sosialnya, ia hasil susulan mesyuarat bersama julung kali peringkat pegawai tinggi yang berlangsung di sini semalam.
“Aktiviti penandaan sempadan akan diterus secara berfasa serta mengalu-alukan cadangan jawatankuasa kerja dan keselamatan dalam menjamin keamanan sempadan darat,” katanya.
Malaysia diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan Brunei pula oleh Menteri Luar Negeri Keduanya, Datuk Seri Erywan Mohd. Yusof.
Sesi mesyuarat pertama Jawatankuasa Bersama untuk tahun ini dibuat bersempena lawatan kerja selama tiga hari wakil kerajaan negara tersebut ke Malaysia yang bermula Rabu lalu.
Kedua-dua negara berjiran di rantau Asia Tenggara itu sudah pun lama menjalinkan kerjasama dalam hal ehwal sempadan darat sejak 2012 menerusi pelbagai perjanjian yang dimeterai.
Erywan turut mengadakan pertemuan rasmi dengan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah serta Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di ibu negara.
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, jawatankuasa itu antara mekanisme penting dalam hubungan istimewa kedua-dua negara terutama isu sempadan darat yang dirintis sedekad lalu.
“Isu persempadanan darat dibincangkan dengan teliti namun telah pun mencapai kesepakatan dalam beberapa perkara termasuk kerja penandaan yang akan disambung,” tambahnya.
Malaysia dan Brunei berkongsi perbatasan darat sepanjang 481 kilometer tetapi setakat ini hanya 207 kilometer yang sudah dimuktamadkan antara negara itu dengan kerajaan Sarawak.
Kedua-dua negara tersebut kemudian bersetuju dengan penetapan lima perjanjian sempadan darat yang dimeterai sebelum itu menerusi pertukaran surat rasmi pada 16 Mac 2009 lalu.-UTUSAN