PADANG BESAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan sebanyak RM3.06 juta pada tahun ini untuk bantuan baik pulih rumah mikro di seluruh negeri ini.
Bantuan tersebut disumbangkan melalui masjid-masjid seluruh negeri ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif melalui Pelan Tindakan Agihan Holistik MAIPs 2.0 dalam melestarikan agihan zakat yang sedang melalui fasa pengukuhannya.
Titah baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs, majlis agama Islam itu sedang mendalami dan memperluas inisiatif strategik berimpak yang dilaksanakan di fasa pertama dalam Pelan Tindakan Agihan Holistik.
“Pengurusan MAIPs sentiasa menginsafi tanggungjawab dalam melaksanakan pengurusan agihan zakat yang sempurna dan mencapai sasarannya,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyaksikan upacara simbolik sumbangan bantuan baik pulih rumah mikro tersebut yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor kepada Pengerusi Jawatankuasa Masjid Nurul Husna, Felda Chuping, Mohd Fitri Mohamad di sini, malam tadi.
Baginda turut menunaikan solat Isyak dan sunat tarawih secara berjemaah bersama kariah masjid tersebut.- UTUSAN