Madad bangun pusat komuniti Islam

Madad bangun pusat komuniti Islam

MOHAMMAD Yaakub Yusra Mohd. Yusof, (kanan) melawat tapak projek masjid berasaskan ilmu falak di Madad di Kampung Teluk, Sungai Layar, Sungai Petani semalam. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Murtadha Dakwah Centre (Madad) yang beroperasi di Kampung Teluk, Sungai Layar di sini bakal menjadi sebuah pusat komuniti Islam pertama bertaraf antarabangsa di negara ini.

Pengarah Urusan Madad, Mohammad Yaakub Yusra Mohd. Yusof berkata, pusat komuniti yang dibangunkan di kawasan seluas tiga hektar sejak 2018 itu kini memasuki fasa kedua dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2025.

Menurutnya, pusat komuniti itu akan dilengkapi dengan sebuah pusat tahfiz integrasi, masjid berasaskan ilmu falak, kapsul hotel dan pengurusan jenazah.

“Lebih membanggakan, semua perkhidmatan dan kemudahan yang sediakan itu nanti akan ditawarkan secara percuma.

“Konsep yang diketengahkan itu bersesuaian dengan misi penubuhannya untuk menjadi organisasi yang menyediakan pendidikan, dakwah, amal dan sistem automasi untuk ummah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran ‘Ramadan Bersama Ekonomi Kita’ di Madad di Kampung Teluk, Sungai Layar di sini semalam.

Menurutnya, Madad sebelum ini dikenali sebagai Pusat Dakwah Darul Murtadha dan pusat komuniti Islam itu merupakan inspirasi abangnya, Allahyarham Ustaz Murtadha Mohd. Yusof yang meninggal dunia dalam kemalangan pada Januari 2018.

Tambahnya, pusat komuniti Islam itu mampu direalisasikan kerana pada masa ini Madad mempunyai ekosistem sendiri untuk memperoleh pendapatan pada setiap bulan dalam tempoh jangka masa panjang.

Katanya, antara perniagaan yang diusahakan Madad sekarang adalah pelaburan saham dan kripto patuh syariah, percetakan buku digital dan beberapa perniagaan lain.

“Alhamdulillah pada masa ini, Madad memperoleh pendapatan menerusi pelaburan saham dan kripto yang melebihi RM1 juta dan percetakan digital pula kira-kira RM100,00O  sebulan.

“Pendapatan lain pula.melibatkan jualan hasil pertanian dan penternakan yang meraih pendapatan RM150,000 hingga RM200,000 sebulan,” ujarnya.

Selain itu, Mohammad Yaakub Yusra memberitahu, jumlah pelajar yang mengikuti pengajian di Madad adalah seramai  40 pelajar yang berusia antara 12 hingga 14 tahun.

Bagaimanapun, menurutnya, ketika ini pihaknya masih bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk membiayai kos pengajian pelajar terbabit.

“Buat masa sekarang disebabkan Madad masih di fasa pembangunan, maka kita masih memerlukan bantuan dan insya-Allah di masa hadapan, kita berimpian besar untuk tidak buat apa-apa kutipan lagi,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya