LZS sasar kutip zakat RM212.8 juta sepanjang ramadan - Utusan Malaysia

LZS sasar kutip zakat RM212.8 juta sepanjang ramadan

MOHD. Sabirin Mohd. Sarbini (lima kiri) bersama dengan pengeluar zakat perniagaan sewaktu majlis penyerahan zakat perniagaan di Wisma PKPS, Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan kutipan zakat harta sebanyak RM155 juta dan sebanyak RM22.8 juta zakat perniagaan sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, untuk zakat fitrah pula pihak LZS menyasarkan kutipan sebanyak RM35 juta.

“Zakat perniagaan memainkan peranan besar dengan menyumbang kutipan zakat sebanyak RM174.9 juta daripada RM993 juta jumlah keseluruhan zakat tahun lalu, iaitu sumbangan tertinggi selepas zakat pendapatan.

“Namun, jika ditinjau kepada potensi sebenar zakat perniagaan, hakikatnya ia masih besar untuk diterokai. Selangor mempunyai ribuan entiti perniagaan, sama ada syarikat persendirian, perkongsian, koperasi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan di Wisma PKPS di sini.

Yang hadir sama ialah Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Ambrin Buang; Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir dan Ahli Pemegang Amanah LZS, Datuk Dr. Abdul Rahman Abdullah.

Terdahulu LZS menerima zakat perniagaan berjumlah RM3,508,113.71 daripada 43 buah syarikat untuk tahun ini.

Maybank Islamic Berhad mendahului senarai syarikat telah mengeluarkan zakat perniagaannya berjumlah RM765,545.72, diikuti CIMB Islamic Bank sebanyak RM600,000, Utas Maju Sdn.Bhd. berjumlah RM237,129.66 dan Takaful Malaysia sebanyak RM200,000.

Turut menyerahkan zakat perniagaan ialah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yang mengeluarkan zakat sebanyak RM176,440.27, Bank Simpanan Nasional (BSN) berjumlah RM170,000, Azman Hamzah Plastik Sdn. Bhd. dan Hospital Pakar KPJ Selangor masing-masing menyerahkan zakat sebanyak RM100,000.

Dalam majlis itu, LZS turut menyalurkan bantuan zakat sebanyak RM1,196,800 kepada dua institusi dan enam orang individu.

Dua institusi yang mendapat manfaat wang zakat ini ialah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menerima sumbangan berjumlah RM1 juta bagi program sanitasi masjid dan surau di negeri ini, manakala Institut Latihan Islam Malaysia pula menerima sumbangan berjumlah RM181,800 bagi pembangunan aplikasi glosari bahasa isyarat Islam untuk keperluan Orang Kelainan Upaya (OKU) pendengaran

Enam individu yang mendapat bantuan LZS termasuk Ruzi Ahmad yang menerima bantuan pembelian alat perubatan sebanyak RM15,000 bagi masalah paru-paru yang dihidapinya.

Diikuti dengan lima mahasiswa dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang merupakan mahasiswa asnaf tajaan LZS menerima bantuan berupa komputer riba. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya