Lulus segera RUU Anti Lompat Parti, kembalikan demokrasi negara

Lulus segera RUU Anti Lompat Parti, kembalikan demokrasi negara

MOHIDEEN ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kecewa dengan penangguhan pembentangan Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2022 Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dan menggesa Parlimen meluluskannya segera.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, ini memandangkan tindakan lompat parti dilihat berleluasa dalam kalangan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terutama sejak beberapa tahun lepas.

Jelas beliau, tindakan lompat parti atau penjajaran semula kesetiaan dalam kalangan ahli politik itu adalah satu pengkhianatan secara terang-terangan kepada kepercayaan pengundi.

Tambahnya, pengundi memilih ahli politik berdasarkan kepada siapa yang dimahukan untuk mewakili mereka atau parti yang diwakili oleh ahli politik itu untuk berkhidmat sehingga pilihan raya akan datang.

“Inilah alasan kenapa calon politik bertanding bagi pilihan raya yang dikenal pasti dengan nama calon serta logo parti yang bergabung dengannya.

“Oleh itu, adalah amat tidak beretika bagi calon yang dipilih untuk bertukar parti atau kesetiaan selepas diundi oleh pengundi di kawasannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Mohideen, jika calon yang dipilih dibuang oleh parti politiknya, seseorang itu perlu kekal sebagai ahli Parlimen atau ADUN Bebas sehingga berakhir penggal pilihan raya umum.

Bagaimanapun, tambah beliau, jika wakil rakyat yang dipilih memutuskan menyertai parti lain, adalah lebih baik bagi wakil rakyat berkenaan mengosongkan kerusinya bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

“Wakil rakyat Bebas juga seharusnya tidak dibenarkan menyertai sebarang parti selepas pilihan raya kerana dengan membenarkannya mereka mungkin menggunakan undi yang dimenangi untuk menyokong parti yang kalah sedikit bagi mengimbangkan kuasa,” katanya.

Tambah beliau, budaya lompat parti secara jelas mewujudkan keadaan yang tidak stabil dan ketidaktentuan politik negara serta persekitaran ekonomi. 

Apatah lagi, tegasnya, pilihan raya kecil  yang perlu diadakan pula menelan belanja yang mahal dan perlu dielakkan negara.

“Disebabkan itu, kami menggesa RUU Anti Lompat Parti dibentangkan segera dan disokong oleh semua ahli Parliman kerana ia akan mengembalikan semula sistem demokrasi negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya