BAYAN LEPAS: Penerbangan Scoot Tiger Air dari Singapura menjadi pesawat antarabangsa pertama yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini selepas pintu sempadan negara dibuka semula bermula hari ini.
Pesawat dengan nombor penerbangan TR498 yang membawa seramai 172 penumpang majoritinya rakyat Malaysia yang pulang ke Pulau Pinang serta sebahagian pelancong dari Singapura mendarat kira-kira pukul 10.30 pagi.
Ketibaan pesawat itu disambut dengan semburan air ketika bergerak masuk ke hangar sebagai simbolik pesawat pertama yang tiba manakala paluan kompang mengiringi kemasukan penumpang ke balai ketibaan.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, pesawat pertama Scoot Tiger Air tersebut merupakan antara sembilan pesawat antarabangsa yang akan tiba di LTAPP hari ini.
Jelasnya, daripada jumlah itu lapan penerbangan adalah dari Singapura manakala satu dari Ho Chi Minh, Vietnam yang membawa keseluruhan kira-kira 1,000 penumpang.
Buat masa ini juga jelas beliau, kira-kira sembilan penerbangan antarabangsa sehari akan tiba di LTAPP membabitkan syarikat penerbangan Scoot Tiger Air, Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia.
“Hari ini merupakan hari bersejarah (milestone) untuk Malaysia dan Pulau Pinang kerana kita sudah menunggu dua tahun lamanya untuk pintu sempadan dibuka yang mana situasi itu telah menjejaskan sektor pelancongan dan ekonomi kita.
“Kita menjangkakan lebih banyak penerbangan akan tiba di LTAPP dari destinasi antarabangsa lain selepas ini termasuk dari Thailand yang dijangka bulan ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas turut menyambut ketibaan pesawat antarabangsa pertama Scoot Tiger Air itu di LTAPP di sini hari ini.
Sementara itu Soon Hin berkata, pihaknya turut menjalin kerjasama baik dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB); Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Malaysia dalam menawarkan pelbagai promosi untuk menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Pinang.
“Harapan kami supaya tahun ini akan menjadi tahun yang lebih baik dan membuka lembaran baharu kepada sektor pelancongan negara khususnya di Pulau Pinang,” katanya.
Dalam pada itu ditanya persediaan LTAPP dalam menerima kemasukan pelancong asing ekoran pembukaan sempadan negara, Soon Hin berkata, kemudahan seperti kedai-kedai dan tempat letak kereta bertingkat di lapangan terbang berkenaan dijangka siap sepenuhnya pertengahan bulan ini.
“Operasi tempat letak kenderaan setinggi tujuh tingkat yang menyediakan kemudahan sebanyak 1,800 lot parkir kini sedang menunggu kelulusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang dijangka antara Mei dan Jun ini,” katanya. – UTUSAN