‘Lipan’, ‘ular’ jadi rebutan wanita Kelantan

‘Lipan’, ‘ular’ jadi rebutan wanita Kelantan

AMIR Amran menunjukkan rantai tangan jenis lipan kait dua yang menjadi kegilaan golongan wanita untuk digayakan pada Hari Raya Aidilfitri. – UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kalau disebut lipan dan ular, sudah pasti ramai yang kecut perut terbayangkan dua haiwan berbisa itu, kecuali sebilangan besar wanita di Kelantan, terutama peminat emas yang mula ‘kecur air liur’.

Dua nama itu adalah antara rekaan koleksi barangan kemas yang paling popular dan menjadi rebutan peminatnya untuk digayakan pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di kedai-kedai emas sekitar pusat bandar ini mendapati, rekaan ‘lipan’ paling laris ketika ini ialah rantai tangan ‘lipan kait dua’, ‘lipan kait tiga’ dan ‘koko lipan’ dengan harga serendah RM1,700.

Sementara itu, koleksi rekaan ‘boba’ paling digilai wanita sempena Syawal ialah rantai leher ‘boba perut ular’ yang dijual dengan harga RM11,000 dan ke atas. Harga emas di Kelantan ketika ini pula mencecah RM258 segram.

Peniaga emas, Amir Amran, 25, berkata, rantai tangan lipan kait dua dan lipan kait tiga sudah lama di pasaran namun kali ini popularitinya mengatasi rekaan ‘pulut dakap’ yang pernah digilai dua tahun lalu.

“Ramai terpikat dengan rantai tangan lipan selepas rekaannya diubah suai sedikit apabila dipahat di permukaan supaya berpasir, berbanding sebelum ini hanya licin dan kosong.

“Rantai tangan lipan kait dua dan lipan kait tiga dijual di kedai saya bermula antara RM1,500 hingga RM37,000 bergantung kepada berat emas, dengan kebanyakan pembeli tidak mengira usia.

“Rantai leher ‘boba perut ular’ pula harganya lebih tinggi iaitu bermula antara RM11,000 hingga RM26,000, bergantung kepada berat emas,” katanya ketika ditemui di kedainya KB Gold di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi peniaga emas, Atirah Suhaimi, 25, berkata, antara faktor rekaan ‘ular’ dan ‘lipan’ laris ialah kerana ia tidak perlu ditempah, sebaliknya sentiasa ada setiap masa dan dijual di kebanyakan kedai emas di seluruh negeri.

“Kebanyakan pelanggan yang datang membeli barang kemas di kedai saya memberitahu mereka sudah jemu memakai pulut dakap yang viral ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

“Trend pembelian emas di negeri ini bukan disebabkan Pengeluaran Khas KWSP kerana memang laris tidak kira masa sebelum kerajaan benarkan wang simpanan itu dikeluarkan lagi,” katanya.

Sementara itu, seorang kerani, Norlinawati Mohd. Rizal, 29, berkata, dia turut membeli rantai tangan lipan selepas melihat ramai golongan wanita sudah memilikinya untuk digayakan pada pagi Syawal nanti.

“Saya beli rantai tangan lipan jenis kait dua bersaiz sederhana demi kepuasan sendiri menggunakan wang tabungan hasil bekerja, bukan memintanya dari suami atau wang pengeluaran KWSP,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya