Lima tahun pendam rindu raya - Sarah Suhairi - Utusan Malaysia

Lima tahun pendam rindu raya – Sarah Suhairi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kalau diajak berbual tentang perihal sambutan hari raya, sudah tentu masing-masing melahirkan rasa teruja untuk meraikannya pada tahun ini.

Masakan tidak, sejak dunia mengenal apa itu Covid-19, hidup mula dibelenggu dengan perasaan sedih dan emosi yang bercampur baur.

Ketika itu, Aidilfitri yang kunjung tiba dianggap seakan tiada makna memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun dilaksanakan dengan ketat dan aktiviti rentas negeri juga tidak dibenarkan.

Lalu untuk bercerita tentang hasrat balik kampung, menjenguk saudara-mara dan kaum keluarga ketika itu, ia seakan mencipta sebuah angan-angan percuma semata.

Keadaan itu dirasakan sama oleh penyanyi genit molek, Sarah Suhairi. Malah, kata Sarah, Ramadan juga pada kebiasaan tahun-tahun sebelumnya,dia dan keluarga memang akan memastikan peluang untuk berpuasa di kampung tidak akan dilepaskan.

“Antara perkara yang saya rindu untuk lakukan semasa bulan puasa adalah untuk berada di kampung bersama nenek. Seronok sebenarnya berpuasa di kampung dan saya sukakan suasananya, berbeza.

“Kalau dulu dah jadi macam rutin tahunan balik kampung seminggu awal untuk buat aktiviti bersama keluarga. Paling saya suka ialah momen buat kuih raya dengan nenek.

“Tapi dah hampir lima tahun juga ini saya dan keluarga tak dapat balik awal disebabkan pandemik. Tak cuma itu, satu lagi sebab ialah kerana kepadatan jadual Sarah sendiri. Sebelum ini kerap dapat berbuka dengan keluarga tetapi disebabkan banyak kerja yang perlu diselesaikan sebelum raya, jadi masa bersama keluarga itu agak kurang pula,”katanya sedih.

Selain itu, sempat bertanyakan mengenai pengertian puasa bagi dirinya, kongsi penyanyi lagu Pasrah dan Kau Yang Bertakhta ini, Ramadan adalah antara bulan yang dinanti-nantikan saban tahun dalam usaha meraih lebih banyak pahala berganda.

“Ramadan adalah satu daripada bulan yang saya pasti semuanya berlumba untuk membuat amal kebajikan sebanyak mungkin. Tak kisahlah dari sudut apa sekali pun, berbuat baik tentunya dilipat gandakan lagi pahala itu buat diri kita.

“Tapi untuk saya sendiri, saya tanam azam untuk cuba mendekatkan lagi diri terhadap Maha Pencipta. Sebab, adakalanya kita ini sentiasa sibuk dengan kerja dan peluang nak gandakan usaha beribadah itu ada dalam bulan yang mulia ini.

“Satu lagi, saya nak cuba juga buang segala tabiat buruk, nak kawal nafsu makan dan memperkukuhkan lagi ilmu agama. Harapnya dapatlah saya laksanakan semuanya dengan baik. Insya-Allah,”katanya.

Dalam pada itu, mengenai perkembangan kerjaya seni, Sarah teruja untuk berkongsi mengenai penggambaran yang baru sahaja selesai dijalani bersama pasukan drama bersiri, Pak Kodi 5G yang akan ditayangkan setiap Sabtu dan Ahad pada pukul 1.55 petang.

Kata Sarah, walaupun dunia lakonan dilihat terlalu baru untuk dirinya, tetapi setelah beberapa kali terlibat dalam projek telemovie dan drama, Sarah semakin yakin untuk meneruskan bakat lakonannya.

“Banyak perkara yang saya belajar selama berlangsungnya penggambaran tersebut. Walaupun saya lebih utamakan bidang nyanyian tetapi masih terbuka untuk mencuba bidang yang lain seperti lakonan dan pengacaraan.

“Dari segi lagu raya pula, rasanya akan ada untuk tahun ini cuma bukan saya seorang. Lagu tersebut akan dinyanyikan oleh beberapa penyanyi lain yang bernaung dibawah label yang sama.

“Insya-Allah, selepas raya juga akan ada single terbaru dan saya harap lagu itu akan diterima baik oleh semua peminat,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya