Lima tahun Malaya Roll - Utusan Malaysia

Lima tahun Malaya Roll

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU di Twitter, sudah biasa sangat mendengar pujian untuk pasukan Malaya Roll. Mereka sebagai sebuah kolektif sangat rajin menghebahkan acara-acara berkaitan muzik di seluruh negara.

Bertapak di Johor tetapi tidak pernah juga mereka hadkan hebahan hanya untuk acara-acara di Johor. Asal ada acara baik dari ceruk mana, mereka promosi. Asal ada kugiran atau artis lancar lagu dan muzik video, mereka kongsi.
Ini kelebihan Malaya Roll. Tiada prejudis dalam sokongan dan sentiasa aktif membantu pembangunan lapangan muzik independen tempatan.

Tapak mula
Kisahnya lebih kurang sama saja seperti media dan kolektif muzik independen yang lain. Berjumpa di gig kemudian membentuk kolektif.

Mulanya mereka hanya mempromosikan acara di Instagram, berperanan sebagai media tidak rasmi yang menjadi rujukan peminat muzik independen. Kemudian, dengan pengikut yang semakin ramai, mereka mula mencuba-cuba menganjurkan acara dan menghasilkan cenderamata.

Kini, Malaya Roll dianggotai 10 peminat muzik independen dan semakin berkembang. Logo mereka sering dilihat dalam poster-poster acara sebagai rakan media dan rakan penganjur. Mereka sendiri sudah menganjurkan beberapa acara besar yang tertumpu di Johor, seperti Malaya Gig.

Beberapa bulan lalu, mereka diuji apabila akaun Instagram yang dibina sejak 2017 digodam entah siapa-siapa. Namun, itu juga tidak mampu memadamkan nyala rasa mereka yang semakin aktif pula di media sosial lain.

“Kami perlu pelbagaikan medium untuk elakkan masalah apabila ada akaun lain yang digodam. Sekarang kami cuba juga aktif di Twitter, Facebook dan TikTok,” kata Zahid, antara pendiri utama Malaya Roll.

Media, penganjur dan peniaga
Malaya Roll menjadikan TAPAUtv dan JOHO sebagai antara inspirasi mereka. Matlamat mereka mudah, mahu bangunkan lapangan muzik independen tempatan dengan apa cara yang boleh. Namun, kerja menyokong muzik independen ini tidak boleh cincai-cincai.

“Kami keluarkan cenderamata macam T-Shirt, pelekat dan lain-lain untuk dapatkan modal buat gig. Kami tahu, nak buat gig tak boleh bergantung kepada hasil tiket semata-mata.

“Sekurang-kurangnya, kalau jualan tiket kurang, kami sudah ada modal lain,” kongsi Mad yang bertanggungjawab dalam hal ehwal jualan.

Ini satu strategi yang baik kerana menjadi penganjur tanpa rancangan perniagaan yang baik itu tidak mampan. Ramai sahaja penganjur yang aktif pada satu tempoh yang singkat tetapi kecundang kerana tak mampu buat duit secara berterusan.

Kemampanan dan konsistensi itu penting. Jadi, mahu tak mahu, organisasi seperti penganjur acara perlu juga beroperasi seperti perniagaan, walaupun tidak sepenuhnya.

Ini juga perlu diambil berat oleh para peminat. Betul kita suka muzik independen kerana kugiran atau artis, namun ekosistem lapangan yang turut melibatkan penganjur acara dan media penting bagi memastikan lapangan terus hidup. Selain kugiran, usahakan juga menyokong produk penganjur acara dan media. Kita bagi mereka duit, mereka bagi kita gig. Menang-menang.

Keraian lima tahun

Tahun ini, usia Malaya Roll mencecah lima tahun. Mereka sedang dalam perancangan untuk menyambut usia setengah dekad mereka dengan penganjuran acara di seluruh Malaysia, jika diizinkan.

Dalam lima tahun ini, banyak kerenah lapangan yang mereka sudah hadap. Pastilah, ada yang baik dan ada yang buruk. Yang buruk mereka harap dapat dibaiki.

“Sejujurnya, aku fikir kugiran perlu belajar cara untuk dekati media. Kadang-kadang, ada kugiran yang hantar karya untuk promosi tanpa profil yang lengkap. Kalau kami rajin, kami akan cari sendiri maklumat yang perlu atau tanya semula kepada mereka, tapi ada masa kami pun tak larat nak buat.

“Dari segi karya mereka juga, kena pastikan ada kualiti dari segi video muzik, video lirik atau kerja seni. Kami setakat ini tak letak tapisan sangat, yang minta promosi kami promosi. Cuma kalau karya itu berkualiti, kami pun seronok nak promosi,” kata Sariy.

Turut dibangkitkan soal peminat genre tertentu yang sukar beri sokongan kepada genre berlainan apabila gig yang bercampur genre dianjurkan.

“Kita cuba sokong semua genre. Itu juga tujuan kami anjurkan gig yang bercampur genre supaya kugiran dapat pendengar yang baharu dan pengunjung pun dapat pengalaman baharu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya