Lima tahun jadi 'port ponteng puasa', kedai mamak diserbu JAIM - Utusan Malaysia

Lima tahun jadi ‘port ponteng puasa’, kedai mamak diserbu JAIM

PENGUAT KUASA JAIM memeriksa dokumen pengenalan diri pekerja restoran yang bertindak sebagai ulat dalam serbuan di sebuah restoran mamak di Peringgit, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kegiatan sebuah restoran mamak di Peringgit di sini menggunakan taktik ‘ulat makanan’ dan servis pandu lalu kepada kaki ponteng puasa diserbu sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), hari ini.

Dalam serbuan Op Plastik Hitam Menggelegak kira-kira pukul 12 tengah hari tadi, seramai enam pekerja dan seorang pemilik berusia antara 24 hingga 63 tahun ditahan.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, serbuan itu merupakan hasil risikan dilakukan pasukan penguat kuasa sejak 3 April lalu dan jumlah pelanggan dikesan meningkat sejak pukul 8 pagi tadi.

Katanya, hasil soal siasat dijalankan, dua pekerja di restoran berkenaan mengaku memainkan peranan sebagai ‘ulat makanan’ meninjau kehadiran pihak berkuasa.

“Sebelum ini kita telah memberikan amaran, namun tidak diendahkan malah mereka semakin berani sehingga menggunakan cara ‘ulat makanan’ untuk menghantar bungkusan kepada pelanggan di sekitar luar premis. Restoran ini juga memang terkenal dalam kalangan kaki ponteng puasa dan dipercayai kegiatan ini telah dilakukan mereka sejak lima tahun yang lalu,” katanya pada sidang akhbar selepas serbuan di sini hari ini.

Che Sukri berkata, pekerja kedai juga cuba mengaburi kegiatan dengan meminta pelanggan menunggu dan mengambil makanan di hadapan sebuah bengkel bersebelahan restoran.

“Kononnya motosikal-motosikal itu sedang mendapatkan servis daripada bengkel, namun seperti yang kita dapat lihat itu hanyalah taktik licik pengusaha kedai mengaburi kesalahannya. Kali ini kita tidak akan berkompromi, kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 (Enakmen Enam) yang boleh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan jika sabit kesalahan,” tegasnya.

Tambahnya, empat daripada pekerja restoran itu juga merupakan orang bukan Islam dan perkara itu akan dimajukan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri bagi menyiasat sekiranya wujud unsur pemerdayaan pelanggan Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya