KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini diberitahu, Lembaga Pengarah Felcra Berhad bersetuju melabur dalam unit amanah Public Mutual walaupun menyedari keputusan tersebut mempunyai risiko.
Bekas Pengurus Besar Kumpulan Kewangan (CFO) Felcra Berhad, Mohd. Azmy Abu Samah berkata, beliau memohon cadangan pelaburan itu dipertimbangkan sewaktu membentangkannya pada Mesyuarat Lembaga Pengarah.
Menjawab soalan peguam Datuk K. Kumaraendran pada sesi pemeriksaan balas, Mohd. Azmy berkata, kertas cadangan itu bagaimanapun tidak dibincangkan dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Bung Moktar dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad pada perbicaraan kes rasuah berkaitan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu Kementerian Kewangan bersetuju meluluskan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual selepas meneliti tiga kertas cadangan pelaburan yang dikemukakan oleh Bung Moktar.
Mohd. Azmy berkata, ketika sesi pembentangan, beliau memaklumkan Felcra mempunyai wang tunai RM300 juta untuk dilaburkan dan memohon lembaga pengarah mempertimbangkannya.
Menurut beliau, lembaga pengarah ketika itu memahami penjelasan yang diberikannya manakala wakil Kementerian Kewangan, Datuk Mohd. Isa Hussin turut berpuas hati dengan pembentangan tersebut.
Selain itu, tiada satupun ahli lembaga pengarah yang mendapati wujud kekhilafan terhadap pembentangan beliau dan tiada seorang pun yang mencadangkan lanjutan masa untuk pertimbangan.
“Mesyuarat turut mengambil maklum bahawa cadangan itu tidak dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Pengurusan Tertinggi Felcra,” katanya yang merupakan saksi pendakwaan ke-26.
Tambah Mohd. Azmy, lembaga pengarah mahu mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan (Diperbadankan) untuk memulakan pelaburan.
Ketika bertugas di Felcra, beliau mendapati tiada peruntukan yang jelas berkaitan dana pencen dan perkara itu boleh memprejudiskan pesara-pesara kerana agensi itu akan menghadapi masalah untuk membayar pencen kelak.
Beliau bersetuju bahawa Felcra mempunyai simpanan deposit tetap yang banyak yang mana pulangannya adalah sekitar 2.8 peratus selepas ditolak dengan 25 peratus cukai.
Namun beliau menyatakan, pulangan deposit tetap itu bukan diperuntukkan untuk dana pencen.
Pebicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 12 April ini.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500.
Rasuah itu sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar, selaku Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Tertuduh juga didakwa menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – UTUSAN