KUALA KRAI: Lemang daun pisang hutan ibarat ‘aset’ berharga di Kampung Lepan Jenut, di sini apabila rata-rata penduduknya mencari rezeki berniaga makanan tradisi itu di sepanjang jalan sejak lebih 50 tahun lalu.
Ketika tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini, tidak kurang 40 gerai jualan lemang dibuka secara berderet di kampung tersebut yang terletak di laluan utama dari Kuala Krai menuju ke Kuala Lumpur.
Salah seorang peniaga, Suriawati Yaakub, 45, berkata, gerai lemang di situ bukan hanya beroperasi setiap kali Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, sebaliknya dibuka sepanjang tahun.
Kata ibu tunggal yang berniaga lemang sejak 30 tahun itu, mereka biasanya hanya akan ‘bercuti’ pada musim tengkujuh iaitu antara November dan Disember setiap tahun.
“Sepanjang bulan puasa ini sebanyak 200 batang lemang dibakar setiap hari bagi menampung permintaan pelanggan, berbanding hanya kira-kira 100 batang lemang pada bulan-bulan lain.
“Bilangannya meningkat kepada 1,500 hingga 2,000 batang menjelang 10 hari terakhir Ramadan dan sepanjang Syawal kerana ramai pembeli dari luar termasuk perantau akan mula mencari lemang,” katanya ketika ditemui.
Bercerita lanjut, Suriawati berkata, kemahiran memasak lemang menggunakan buluh minyak yang dibungkus dalam daun pisang hutan itu diwarisi penduduk Kampung Lepan Jenut secara turun-temurun.
“Mengikut cerita orang tua, lemang daun pisang hutan ini sebenarnya resepi tradisional berusia 100 tahun dahulu dan turut juga menjadi kegemaran penduduk Orang Asli suku Negrito dan suku Semai,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Painah Awang Long, 67, berkata, sebatang lemang yang sudah siap dimasak dijual pada harga serendah RM5 manakala rendang ayam atau daging dijual RM5 semangkuk.
“Perniagaan lemang diusahakan penduduk kampung ini secara tidak langsung turut menjadi sumber rezeki sampingan kepada pencari buluh minyak, daun pisang hutan dan kayu api.
“Sebagai contoh, seruas buluh sepanjang 38 sentimeter untuk memasak lemang saya beli dengan harga 40 sen sebatang manakala seikat daun pisang hutan saya beli dengan harga RM4,” katanya. – UTUSAN