lebih 200,000 kenderaan

Lebih 200,000 kenderaan dijangka guna lebuhraya KL-Karak, LPT1 mulai esok

Jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Karak dijangka meningkat lebih 200,000 mulai esok berikutan orang ramai pulang berhari raya ke kampung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 207,500 kenderaan akan melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak mulai esok (29 April) manakala Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) pula dijangkakan mencatat 100,000 kenderaan sehari yang dijangka berterusan hingga 8 Mei ini sempena sambutan Aidilfitri pada 3 Mei.

Jangkaan itu adalah berdasarkan kepada jumlah kenderaan yang melalui Lebuhraya KL-Karak sepanjang bulan Ramadan yang mencatatkan jumlah kenderaan sebanyak 145,231 pada setiap hujung minggu, manakala LPT1 pula mencatatkan sebanyak 45,600 kenderaan.

Pengurus Besar Kanan, Ketua ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, pihaknya akan memastikan keadaan kedua-dua lebuh raya itu berada dalam keadaan baik dengan melakukan kerja-kerja pembaikan jalan raya dan penambahbaikan kemudahan awam di kawasan R&R dan Hentian Sebelah sejak awal Ramadan memandangkan aliran trafik ke Pantai Timur menunjukkan peningkatan ketara.

Katanya, antara langkah yang diambil termasuklah menambah bilangan juru tol, seiring dengan penambahan lorong di plaza tol dari 100 kepada 151 lorong.

“ANIH Berhad akan mengedarkan cadangan waktu perjalanan di Plaza Tol Gombak, Bentong, Karak dan Temerloh, termasuk kaunter-kaunter Pusat Khidmat Pelanggan Tol Gombak, Tol Bentong, Tol Karak, Tol Temerloh dan Tol Kuantan minggu ini,” katanya dalam kenyataan.

Selain meningkatkan kerjasama dengan pasukan keselamatan lain, beliau berkata, langkah-langkah proaktif turut diambil bagi mengurangkan risiko kemalangan termasuklah meningkatkan kekerapan rondaan pasukan LPT Ronda, meningkatkan jumlah aset dan tenaga kerja yang bertugas bagi mempercepatkan tempoh masa tindak balas di lebuh raya. Jika perlu, akan mengaktifan laluan kontra sekiranya berlakunya kemalangan.

“Sungguhpun Kementerian Pengangkutan telah menggariskan pengecualian kompaun kepada lima kesalahan lalu lintas bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bermula 29 April hingga 8 Mei ini, ANIH ingin menasihati para pengguna untuk tetap melakukan pemanduan secara berhemah dan bersabar demi keselesaan semua,” katanya.

Dalam masa sama, Radzimah juga menyarankan para pengguna supaya memastikan baki dalam e-Wallet, kad Touch ‘n Go atau SmartTag mencukupi sebelum memasuki lebuhraya bagi mengurangkan kesesakan.

“Berikutan pengumuman Perdana Menteri berkenaan pengecualian bayaran tol beberapa hari lalu, ANIH Berhad ingin mengingatkan para pengguna untuk tetap menyentuh kad Touch ‘n Go mereka pada alat pengesan di lorong bagi tujuan pengesahan dan diingatkan untuk masuk dan keluar lebuhraya dalam tempoh yang ditetapkan bagi menikmati pengecualian tersebut,” katanya.

Beliau juga menasihatkan para pengguna untuk mendapatkan rehat yang secukupnya setiap dua hingga tiga jam perjalanan di kawasan R&R dan Hentian Sebelah di sepanjang lebuhraya serta sentiasa memasang lampu head lights kenderaan sahaja dalam cuaca hujan dan mematuhi had laju yang ditetapkan.

Untuk maklumat lebih lanjut, tepat dan terkini, sila rujuk laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT – Line di 1-700-818-700. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya