lari 55 kilometer

‘Lari 55km’ bawa daun ketum, ubat batuk

SIK Choon Foo (dua dari kiri) menunjukkan ubat batuk dan daun ketum yang berjaya dirampas di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Polis mengejar dua lelaki yang membawa 140 kilogram daun ketum dan 100 botol ubat batuk sejauh 55 kilometer sebelum berjaya menahan mereka berhampiran Balai Polis Paloh, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari, kedua-dua suspek berusia 30 dan 32 tahun ditahan selepas kereta jenis Proton Inspira dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan lalu terbabas dalam semak di depan Balai Polis Paloh.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, sebelum kejadian, sepasukan anggota Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang membuat ‘snap check’ di Felcra Panggong Lalat, di sini pada pukul 11 pagi.

Menurutnya, mereka kemudian telah menahan sebuah Proton Inspira dinaiki dua suspek untuk pemeriksaan namun pemandunya bertindak memecut kereta tersebut menghala ke Jalan Gua Musang.

“Selepas polis mengejar mereka hampir 55 kilometer, kereta suspek merempuh sebuah kenderaan awam sebelum terbabas dalam semak di depan balai polis. Mereka cuba melarikan diri sejauh 100 meter namun gagal,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Gua Musang di sini hari ini.

Choon Foo memberitahu, pemeriksaan di dalam kereta telah menjumpai 14 bungkusan plastik hitam mengandungi 140 kilogram daun ketum bernilai RM1,400 dan satu beg hitam berisi 100 botol ubat batuk berharga RM2,000.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bekalan daun ketum dibawa dari Kedah untuk dijual di selatan Thailand dan ujian air kencing mendapati pemandu kereta berusia 30 tahun positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai dua rekod jenayah berkait dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya