GEORGETOWN: Isu pembuangan sampah yang telah lama berlarutan di Sungai Pinang di sini berlaku disebabkan kerana kekurangan tindakan penguatkuasaan yang agresif oleh kerajaan negeri.
Sehubungan itu, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, SAM tidak terperanjat dengan pendedahan kira-kira satu tan sampah sedang dikutip dari Sungai Pinang itu setiap hari.
Katanya, SAM yakin masalah pembuangan sampah dapat ditangani dengan pendidikan, perancangan pengurusan sisa yang berkesan, kemudahan bagi pengumpulan sisa besar atau pukal, pelaksanaan yang cekap dan penguatkuasaan yang ketat.
“Sejak beberapa dekad lalu Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengenal pasti punca pencemaran di Lembangan Sungai Pinang dan menyusun strategi untuk menangani masalah pencemaran termasuk pendidikan alam sekitar.
“Jadi sudah tiba masanya kerajaan mula melaksanakan pelan tindakan itu secara agresif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, setiap hari sejumlah satu tan sisa sampah di log boom Sungai Pinang yang bertujuan memerangkap sampah daripada terus mengalir ke laut.
Menurut Meenakshi, semua pihak sering mengaitkan pembuangan sampah dengan tingkah laku masyarakat tetapi adalah perlu mengetahui mengapa mereka bertindak demikian.
“Adakah ini soal kekurangan pendidikan, sikap acuh tidak acuh atau masalah pengurusan sisa pepejal dan infrastruktur yang tidak mencukupi?
“Dasar Pengasingan Sisa di Punca Pulau Pinang 2016 telah dikuatkuasakan sejak Jun 2017, namun mengapa rakyat tidak mematuhi peraturan di bawah Akta Kerajaan Tempatan ini?” katanya.
Tambah beliau, antara rancangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menangani pencemaran Sungai Pinang ialah membina longkang selari yang akan memerangkap sampah daripada dihanyutkan ke sungai tersebut.
Ujar beliau, langkah itu dan pembersihan sungai boleh membantu mengurangkan jumlah sisa tetapi pencemaran masih akan berlaku jika punca pencemaran tidak dihentikan.
“Sisa pepejal dalam bentuk sisa besar dan sampah di sungai adalah mudah dilihat, kita juga perlu peka dengan bahan pencemar lain seperti sisa organik, kumbahan, bahan kimia dan mikroplastik,” katanya.
Meenakshi berkata, semua pihak sedar akibat pencemaran sungai, maka langkah-langkah sewajarnya perlu diambil untuk menangani pencemaran dengan berkesan. – UTUSAN