KUALA LUMPUR: Program Derma Darah bersama Azhan Rani 2022 berjaya mencapai sasaran apabila lebih 70 pek darah didermakan dalam tempoh kurang dua jam bermula pukul 10 pagi di Pusat Darah Negara di sini hari ini.
Program kali kedua anjuran Summit Attack Resources (SAR) itu turut menampilkan pelakon drama popular Nur, Azhan Rani yang hadir bagi memberi semangat kepada orang ramai yang menderma darah.
Menurut Azhan yang popular dengan watak Ustaz Hamadi, walaupun dia tidak dapat menderma darah ekoran terlibat dalam kemalangan motosikal di Jalan Templer, Rawang pada 16 Januari lalu namun gembira apabila melihat ramai yang hadir bagi program hari ini.
“Ini tugas yang tak popular, mungkin tak akan ramai sudi hadir tetapi ini merupakan program kali kedua saya bersama pasukan penganjur, SAR.
“Walaupun saya tidak dapat menderma darah tetapi bila saya boleh menjemput ramai datang ke PDN ini, kiranya ia salah satu bantuan yang dapat saya berikan,” katanya ketika ditemui di PDN di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah SAR, Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa.
Sementara itu, Pegawai Perubatan PDN, Dr. Nusaibah Wan Zukipli melahirkan penghargaan atas usaha dimainkan SAR dan Azhan Rani sehingga mampu mendapatkan lebih 70 pek darah kali ini.
Ujarnya, stok bekalan darah ketika Ramadan memang berkurang dan dengan usaha itu dilihat mampu mengajak orang ramai untuk sama-sama menderma darah.
“Orang ramai termasuk mereka yang berpuasa masih boleh menderma darah sepanjang Ramadan ini.
“Bagi yang berpuasa dan ingin menderma darah, mereka boleh berbuat demikian sebelum pukul 9 pagi dan dinasihatkan untuk mengambil sahur makanan berat atau selepas waktu berbuka puasa iaitu sebelum 9 malam,” ujarnya. –UTUSAN