PUTRAJAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) adalah dipilih oleh ahli-ahli anggota Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN).
Penganalisis politik, Datuk Saiful Bahar berkata, perkara itu terkandung dalam Perlembagaan BN yang menyebut, sekiranya Pengerusi BN meletak jawatan, ahli-ahli anggota Dewan Tertinggi BN harus memilih Pengerusi BN yang baharu.
Katanya, perkara itu adalah mudah dan jelas untuk difahami.
“Justeru, Tengku Adnan tersilap apabila menyatakan dalam Perlembagaan BN, siapa Presiden UMNO automatik akan jadi Pengerusi BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Memetik Perlembagaan BN di bawah Fasal 8.3 Tugas Pegawai-pegawai BN menyebut, Pengerusi BN yang juga akan menjadi Pengerusi Dewan Tertinggi, hendaklah dipilih oleh anggota-anggota Dewan Tertinggi. Pengerusi boleh memegang jawatannya selagi dikehendaki oleh Dewan Tertinggi.
Sekiranya Pengerusi meletakkan jawatannya, peletakan jawatan itu hendaklah berjalan kuatkuasanya selepas mendapat kelulusan Dewan Tertinggi yang akan memilih dengan secepat mungkin seorang Pengerusi baru.
Semalam, Tengku Adnan atau Ku Nan meminta Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa tidak menimbulkan masalah dan mengelirukan akar umbi parti dan rakyat di luar sana apabila mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dicadangkan sebagai Pengerusi BN.
Menurut Ku Nan, Perlembagaan UMNO sudah jelas tertera bahawa mana-mana individu yang menjadi Presiden UMNO akan dilantik sebagai Pengerusi BN.
“Sebagai bekas Setiausaha Agung UMNO, saya ingin jelaskan bahawa kita (UMNO) ada perlembagaan sendiri dan perkara itu sudah termaktub dalam perlembagaan parti,” katanya. – UTUSAN