PUTRAJAYA: Seramai 50 orang anak asnaf diraikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali pada Program Iftar Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (Maksak) Malaysia.
Kesemua mereka yang didatangkan khas dari rumah Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At Taqwa, Puchong, Selangor diraikan beliau yang juga Yang Dipertua Maksak bagi mengeratkan ukhuwah dan silaturahim sesama ahli di samping menyemarakkan amalan bulan Ramadan.
Berucap pada majlis tersebut, Mohd. Zuki mengingatkan hadirin agar sentiasa membudayakan konsep kepercayaan untuk berkhidmat dalam menyampaikan perkhidmatan cemerlang.
Beliau turut memaklumkan bahawa Maksak akan menganjurkan sejumlah 27 program meliputi kejohanan Sukan Maksak Malaysia selain acara berbentuk kebajikan, sosial dan kebudayaan selain memperkenalkan dua program baharu antaranya ialah Maksak Games – Berbasikal dengan mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu.
Turut dianjurkan kata beliau, ialah Karnival Islam Maksak yang mempertandingkan acara tilawah al-Quran, daie dan dikir dakwah dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. – UTUSAN