JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor akan membuat pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas stesen-stesen minyak khususnya yang berhampiran dengan sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura.
Pengarahnya, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, pemantauan itu bagi memastikan tiada kenderaan berpendaftaran asing membuat pengisian petrol RON95 ekoran pembukaan semula sempadan berkenaan sejak kelmarin.
Menurut beliau, pihaknya maklum akan kejadian yang tular beberapa hari ini di mana kenderaan berpendaftaran Singapura dipercayai mengisi petrol RON95.
“KPDNHEP Johor maklum isu tular melibatkan kenderaan pendaftaran asing membuat pengisian minyak RON95 yang disiarkan beberapa platform baru-baru ini.
“Namun, hasil pemantauan dan pemeriksaan dijalankan melalui rondaan stesen ke stesen oleh anggota penguat kuasa mendapati tiada aktiviti seperti yang diadukan dan penjualan berlaku dalam tahap yang memuaskan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, kesemua stesen minyak yang diperiksa turut diberi peringatan agar mematuhi undang-undang berkaitan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang antaranya turut melibatkan kenderaan pendaftaran asing.
“Mereka dilarang membeli Petrol RON95, dibenarkan membeli diesel sekali dalam sehari yang dihadkan kepada 20 liter sahaja di mana-mana stesen minyak dalam jarak 25 kilometer daripada pintu sempadan Malaysia-Singapura dan dibenarkan membeli Petrol RON97 tanpa had dengan syarat dimasukkan terus ke tangki kenderaan,” ujarnya.
Sementara itu, Hairul Anuar turut mengingatkan peniaga di Johor agar mematuhi undang-undang perniagaan yang ditetapkan dan tidak mengambil kesempatan semasa pembukaan sempadan ini.
“Seramai 200 anggota penguat kuasa KPDNHEP Johor seramai akan sentiasa memantau dan memeriksa bagi memastikan tiada ketirisan berlaku melibatkan barang kawalan terutamanya petrol dan diesel khususnya di negeri Johor.
“Tindakan tegas akan diambil sekiranya peniaga didapati melakukan kesalahan yang telah ditegah,” ujarnya.-UTUSAN