KPDNHEP Melaka sita 4,277 kasut, selipar tiruan Aidilfitri

KPDNHEP Melaka sita 4,277 kasut, selipar tiruan Aidilfitri

KASUT dan selipar tiruan pelbagai jenama yang disita KPDNHEP Melaka hasil serbuan di sebuah premis yang dijadikan stor penyimpanan di Bachang, Melaka. - FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka menyita sebanyak 4,277 pasang kasut serta selipar yang menggunakan cap dagangan palsu dan nilai rampasan dianggarkan RM85,710.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, pasukan penguat kuasa telah menyerbu sebuah premis di Bachang di sini yang dijadikan stor bagi menyimpan barangan tiruan jenama terkenal tersebut.

Menurutnya, operasi dijalankan setelah melakukan risikan selama seminggu terhadap premis berkenaan.

“Hasil serbuan yang dijalankan pada pukul 12.00 tengah hari berkenaan telah menemui sejumlah 4,277 unit kasut dan selipar yang dipakaikan dengan cap dagangan palsu dengan nilai rampasan dianggarkan RM85,710.

“Modus operandi kes ini adalah dengan menyasarkan penjualan secara dalam talian melalui platform yang tersedia. Pemilik barangan ini menumpukan jualan kepada pengguna terutamanya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Norena, pihaknya melalui seksyen penguat kuasa menyarankan agar pengguna turut sama menjadi mata dan telinga kepada agensi itu dalam melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdagangan dan juga isu kepenggunaan.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019. Kesemua barangan yang disita telah dibawa dan disimpan di stor KPDNHEP. 

“Selain itu, seorang lelaki rakyat tempatan berusia 30-an yang disyaki pemilik barangan berkenaan turut ditahan, tetapi telah dilepaskan dengan jaminan polis,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya