SHAH ALAM: UMNO Selangor menyifatkan konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan Datuk Seri Ismail Sabri menyuntik semangat kebangkitan rakyat untuk bersama-sama kerajaan memulihkan semula ekonomi negara daripada kesan Covid-19.
Pengerusi Badan Perhubungannya, Tan Sri Noh Omar berkata, selain itu, integriti Ismail Sabri dan keupayaan beliau dibuktikan sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 20 Ogos tahun lalu.
“Ia terutama dalam menyatupadukan rakyat dan negara sehingga mengembalikan kestabilan politik yang diharapkan ketika ini.
“Pengenalan konsep Keluarga Malaysia oleh Ismail Sabri menyuntik semangat rakyat untuk bangkit daripada kemelut pandemik Covid-19 dan bersama kerajaan memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khamis lalu, MKT UMNO sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Kelmarin, Pas Selangor menerusi Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi turut menyokong cadangan itu dengan menyifatkan Ismail sebagai pemimpin yang berintegriti tinggi dan diterima rakyat.
Dalam pada itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang menambah, UMNO Selangor yakin keputusan berkenaan akan diterima baik rakyat.
“Menerusi karisma Ismail, UMNO, Barisan Nasional (BN) dan sekutunya terutama di Selangor akan mampu bangkit semula merampas kembali negeri ini daripada PH,” katanya.- UTUSAN