KUALA LUMPUR: Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk kolaborasi EB Frozen Food Sdn. Bhd. (EB) dan Media Mulia Sdn. Bhd. diteruskan dengan edaran bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru yang terkenal dengan resipi turun-temurun.
Seorang penduduk, Jalalullddin Abdul Aziz, 60, berkongsi kesedapan bubur lambuk yang dikatakan resipi memasaknya sudah tiga generasi digunakan.
“Bubur lambuk di sini dari saya kecil sampai dah umur 60 rasa dia tetap sama. Setiap kali berbuka puasa, inilah juadah yang saya makan. Walaupun makan setiap hari tetap tidak bosan,” katanya.
Pesara kerajaan, Abdul Latiff Buniran, 62, turut berkongsi pendapat yang sama tentang kesedapan bubur lambuk yang cuma ada di Masjid Jamek Kampung Baru.
“Kalau diikutkan memang ramai orang dari Selayang, Batu Caves, sekitar Kuala Lumpur datang nak bubur lambuk sini. Jadi resipi yang menggunakan tujuh rempah amat enak sebagai juadah berbuka,” katanya.
Kemeriahan ditambah dengan kehadiran penyanyi tanah air, Andi Azrul atau lebih dikenali sebagai Andy Bernadee yang turut sama meluangkan masa membantu mengedarkan bubur lambuk.
“Ini bukanlah perkara baru buat saya, sebab setiap Ramadan saya bantu edarkan bubur lambuk dan saya dah siap untuk bawa pulang beberapa pek sebagai juadah sahur nanti,” jelasnya.
Sementara itu, Eksekutif Pemasaran EB, Nurul Fatihah Jamil berkata, masjid ini dipilih kerana menggunakan resipi bubur lambuk turun-temurun dan digemari warga kota.
“Masjid Jamek Kampung Baru ini orang ramai tahu keenakan bubur lambuknya. Buburnya juga menggunakan resipi turun-temurun, kira-kira 100 tahun resipinya dan masih relevan dan diminati,” jelasnya.
Fatihah turut gembira apabila siri edaran bubur lambuk hampir ke penghujung dan bersyukur dapat bekerjasama dengan mereka yang terlibat.
“Perasaan sekarang bercampur-baur jugalah sebab kita pun gembira dapat berkongsi dan meraikan puasa dengan edarkan produk EB kepada orang ramai.
“Ini adalah lokasi kita yang kelima. Jadi kita dah edarkan termasuk hari ini 5,000 bubur lambuk sebelum ke destinasi terakhir program di Johor, Khamis ini,” katanya. – UTUSAN