KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengeluarkan 16 notis di bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 dengan nilai kompaun RM48,000 dalam Operasi Penguatkuasaan Label Produk Timur Tengah Negeri Pahang 2022, kelmarin.
Pengarah JKNP, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, sebanyak 646 produk makanan disita dengan nilai sitaan RM4,983 membabitkan 66 premis di sekitar daerah ini.
Menurutnya, antara lokasi yang menjadi perhatian dan sasaran pihak penguatkuasaan JKNP seperti pasar raya, kedai runcit dan premis makanan.
“Sepanjang operasi antara kesalahan yang dikenal pasti berkaitan label makanan yang mana tidak mempunyai alamat pengilang, pengimport seperti yang diperuntukan di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Terdapat tiga kes lain turut dikesan dan diambil tindakan di bawah Peraturan 11 di bawah Peraturan 18(1A) dengan nilai kompaun RM33,000 yang mana pada label bungkusan produk terdapat akuan penggredan, kualiti atau kelebihan sesuatu produk seperti perkataan gred premium.
“Satu kes dikesan pula dengan nilai kompaun RM3,500 melibatkan kesalahan menjual produk yang telah tamat tempoh dan satu kesalahan dikesan di bawah Peraturan 10 kerana penggunaan bahasa yang salah dengan nilai kompaun berjumlah RM3,500,” katanya dalam kenyataan di sini semalam. – UTUSAN