Komen Rafizi hanya pandangan peribadi - Adam Adli

Komen Rafizi hanya pandangan peribadi – Adam Adli

ADAM ADLI Abd. Halim mengumumkan tiga calon Exco AMK zon Selatan di Bilik Gerakan Utama, Warung Reformasi, Ayer Molek, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Adam Adli Abd. Halim menyifatkan komen diutarakan Naib Presiden, Rafizi Ramli mengenai dirinya, kononnya tidak berpengalaman sebagai pemimpin organisasi hanyalah pandangan peribadi.

Kata Adam Adli, soal dirinya layak atau tidak menjadi Ketua AMK yang baharu tidak seharusnya menjadi persoalan, kerana paling penting AMK seharusnya dipimpin oleh setiap anggota parti yang bernaung di bawah sayap itu.

Tegasnya, jika ditakdirkan menang menewaskan seorang lagi calon, Fahmi Zainol, beliau berjanji akan tetap bekerjasama dengan lawannya itu serta semua pihak.

“Bukan kali pertama saya ditanya mengenai layak atau tidak. Ada yang kata, kamu tidak cukup setahun mampu ke kamu nak pimpin organisasi ini.

“Saya kata kalau saya seorang nak memimpin, memang tak boleh. Saya harap semua anggota bekerjasama dan kita perlu jaga ukhuwah.

“Kalau saya menang atau Fahmi menang, memang kita akan bekerjasama sebab pentingnya untuk kita memperkukuhkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya ketika berucap sebelum pengumuman calon Exco AMK Seangkatan zon Selatan di Tiang Dua di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian dipercayai sebagai menjawab komen Rafizi, antara lain menyebut Fahmi lebih layak menjadi Ketua AMK kerana berpengalaman menguruskan organisasi dan mempunyai kualiti kepemimpinan apabila dipilih sebagai Presiden Majlis Pelajar Universiti Malaya (UM) sebelum menjadi Ketua AMK Pulau Pinang.

Adam Adli menambah, pemilihan parti pada Mei ini bukanlah medan menunjukkan siapa paling kuat, sebaliknya ia lebih kepada proses memilih pemimpin yang berkebolehan untuk membantu PKR, selepas kecewa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Tegasnya, jika pemilihan itu menyebabkan parti berpecah-belah, ia sekaligus boleh menyumbang kepada kekalahan dalam PRU-15.

“Kita sudah melalui episod yang menguji keutuhan parti apabila tewas di Melaka dan Johor dan pemilihan ini tidak harus menjadi luka besar buat parti kita,” ujarnya.

Sejurus selepas itu, Adam Adli mengumumkan senarai tiga calon Seangkatan dari zon Selatan iaitu Melaka, Johor dan Negeri Sembilan yang akan bertanding sebagai Exco AMK.

Mereka ialah Muhammad Ridhuan Abu Samah (Melaka), Abdul Aziz Shari (Johor) dan Mohamad Fadzrie Amilludin (Negeri Sembilan). –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya