JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri memuji usaha berterusan Kelab Media Johor (KMJ) yang mengukuhkan hubungan antara pengamal media dengan agensi penguat kuasa dan jabatan kerajaan menerusi program Singgah Sahur KMJ di bulan Ramadan yang penuh barakah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh berkata, usaha murni itu dilihat dapat mengeratkan lagi silaturrahim yang sedia terjalin antara kedua-dua pihak yang saling memerlukan antara satu sama lain.
Beliau berkata, program Singgah Sahur KMJ yang memasuki tahun kelapan penganjurannya membuktikan kesungguhan agensi media di negeri ini daripada sekadar menyampaikan berita dan maklumat daripada sumber yang sahih dan tepat.
“Program anjuran KMJ ini adalah program yang baik bagi mengukuhkan hubungan antara pengamal media dengan jabatan kerajaan, harapnya ia diteruskan lagi di masa akan datang. Saya percaya menerusi program ini mampu memberi impak yang kuat antara hubung kait kedua-dua belah pihak sekali gus memudahkan segala urusan satu sama lain di masa akan datang,” katanya pada program itu yang bermula pukul 12 tengah malam tadi hingga waktu Imsak.
Yang hadir sama memeriahkan program itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor.
Sejak 2015, KMJ tidak pernah terlepas daripada menganjurkan acara tahunannya itu dengan mengagihkan juadah bersahur kepada petugas-petugas barisan hadapan.
Sementara itu, Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak berkata, program tahunan itu bertujuan memberi penghargaan kepada pasukan keselamatan dan perubatan yang bertugas, secara tidak langsung mengeratkan hubungan mereka dengan media. – UTUSAN