‘Khemah besar’ tak rangkumi UMNO, Bersatu dan Pas

‘Khemah besar’ tak rangkumi UMNO, Bersatu dan Pas

mat sabu
MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan, pendekatan khemah besar tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti kerajaan sama ada UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas. 

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, sebaliknya khemah besar yang dimaksudkan adalah soal penyatuan dan kerjasama parti-parti pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

“Tidak mungkin Pakatan Harapan (PH) akan bekerjasama dengan pengkhianat yang jelas telah mengkhianati amanah dan mandat rakyat.

“Perlu ditegaskan bahawa golongan pengkhianat adalah mereka yang telah melompat untuk bersama Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) atas sebab tawaran-tawaran yang dibuat pada ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mohamad yang juga bekas Menteri Pertahanan menegaskan, tidak wajar menyamakan kumpulan yang melompat dengan kumpulan yang tidak melompat.

Menurut beliau, ini sepertimana tidak wajar menganggap PKR sebagai parti pengkhianat atas sebab timbalan presidennya dan belasan ahli Parlimennya melompat. 

“Begitu juga adalah tidak wajar kita namakan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai pengkhianat atas sebab pengkhianatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu,” katanya.

Sebagai parti politik yang ingin menunaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat dengan mengusahakan kemenangan dalam PRU15, jelas Mohamad, persoalan menyatukan pembangkang adalah amat perlu.

“Ke arah ini Amanah akan berusaha memperbanyak kawan demi menghadapi lawan yang sama iaitu BN dan PN. 

“Bagi yang membuat keputusan bahawa PRU-15 tidak akan dimenangi, usaha sebegini sememangnya tidak perlu. Usaha untuk kalah adalah jauh lebih mudah dari berjuang untuk menang,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya