JOHOR BAHRU: Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan yang lebih kukuh menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Naib Presiden Kanan PBM, Steven Choong Shiau Yoon berkata, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berhubung dengan kepimpinan tertinggi PBM bagi membincangkan kemungkinan kerjasama beberapa hari selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Apa yang saya tahu, memang ada perbualan tidak rasmi dengan kepimpinan tertinggi PBM, tetapi bukan dengan saya. Mungkin bukan bincang soal kerjasama tetapi lebih kepada mahu memastikan pendirian kami. Hal itu mungkin kerana PBM telah menyatakan pendirian bersedia untuk menjalin kerjasama dengan gabungan politik yang lebih besar dan kukuh, kerana jenama baharu sukar untuk diterima pengundi selepas keputusan PRN Johor diketahui pada 12 Mac lalu. Ekoran kenyataan itu, saya sendiri turut mendapat panggilan daripada beberapa wakil parti-parti politik yang kecil untuk membincangkan kemungkinan jalinan kerjasama dalam PRU-15,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat beliau di Taman Daya, di sini hari ini.
Steven Choong yang juga Ahli Parlimen Tebrau berkata, PBM juga mahu melihat hasil perbincangan antara PN dan Pakatan Harapan (PH) terlebih dahulu sebelum membuat sebarang langkah politik.
“Walaupun mereka tidak mahu akui, tetapi difahamkan memang ada perbincangan antara PN dan PH untuk bekerjasama, mungkin ketika ini mereka perlu memperhalusi beberapa perkara terlebih dahulu. Jadi kita tunggu hasil perbincangan antara mereka sama ada akan bekerjasama atau tidak sebelum membuat sebarang keputusan tentang hala tuju parti. Perbincangan antara mereka lebih mendesak. Jadi biarlah mereka selesaikan urusan mereka terlebih dahulu kemudian baru kita, mungkin kita ini kerjasama fasa kedua agaknya,” katanya yang mengulangi pendirian untuk bekerjasama bersama mana-mana pihak dengan syarat ia membawa kepada kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, mengulas Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti, beliau berkata, perkara itu mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri sekiranya ia mendapat persetujuan untuk dilaksanakan dalam sistem politik di negara ini.
Menurut Steven Choong, antara kebaikan RUU itu pastinya ia akan menghalang seseorang wakil rakyat membuat keputusan berbentuk peribadi, namun dalam masa sama boleh mencetuskan krisis politik baharu dalam negara sekiranya ia dilaksanakan.
“Sekiranya RUU itu dilaksana, apa tindakan yang boleh diambil seseorang wakil rakyat apabila mereka berbeza pendapat dengan kepimpinan parti, mereka sudah tidak boleh keluar parti. Jadi ia hanya mengukuhkan kedudukan dan jawatan Presiden dalam sesebuah parti. Beliau ada keputusan mutlak dalam semua perkara termasuk memecat mana-mana individu yang tidak sehaluan dengannya dalam parti. Jadi boleh dikatakan jika RUU ini diluluskan di Parlimen, ia akan menjadi ‘double edge sword‘, pelaksanaannya positif atau tidak akan bergantung kepada situasi semasa,” katanya.
Tambah beliau, situasi juga akan menjadi sulit sekiranya dalam PRU-15 akan datang, tiada mana-mana parti mendapat majoriti sebaliknya kedudukan seimbang dengan blok kerajaan dan pembangkang yang masing-masing memperoleh 111 kerusi Parlimen.
“Dalam situasi berkenaan apa yang akan berlaku, ini kerana tiada mana-mana pihak boleh membuat tindakan melompat parti dan menyokong parti lain untuk tubuh kerajaan, jadi adakah perlu diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) pula? Ini pastinya membazirkan lagi duit rakyat,” jelasnya. – UTUSAN