KUANTAN: Mari’s Buffet Cafe di bandar ini memilih sedikit kelainan pada Ramadan kali ini apabila menyediakan menu martabak udang bagi memikat selera pelanggannya berbuka puasa.
Setiap kali bulan puasa, martabak terutamanya ayam dan daging merupakan menu yang sentiasa menjadi pilihan penggemar makanan itu setiap kali berkunjung ke bazar Ramadan.
Namun, ia berbeza di Mari’s Bufffet yang memilih udang laut segar sebagai ramuan isi martabak dihasilkan di situ.
Pengarah Pengurusan Cafe Mari’s Buffet, Jamaliah Ismail berkata, setiap hari, kira-kira lima kilogram udang laut segar disediakan untuk inti martabak.
“Di Mari’s Buffet Kuantan ini, kami hanya menyediakan martabak udang yang merupakan menu istimewa di sini.
“Bekalan udang laut segar diperoleh daripada pembekal makanan laut itu di bandar ini pada setiap hari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jamaliah berkata, martabak udang resipi unggul itu disediakan di cafe itu bermula pukul 7 malam sehingga 12 malam.
Beliau berkata, isi udang laut segar mempunyai aroma dan rasa yang sedap sebagai kelainan menu itu yang kebiasaannya hanya ayam dan daging.
“Mari’s Buffet menjual menu ini RM18 sekeping dan ia berbaloi dengan rasa inti udang laut segar,” katanya. –UTUSAN