Ketepikan ego untuk tewaskan BN 

Ketepikan ego untuk tewaskan BN 

MOHD. Rafiq Naizamohideen (kanan) membantu memilih baju Melayu pada program beli-belah raya untuk anak yatim dan fakir miskin anjuran Bersatu Bahagian Tangga Batu di Pasaraya Mydin, Ayer Keroh, Melaka. - FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Semua pihak yang tidak sealiran dengan Barisan Nasional (BN) disaran masuk ke dalam ‘zon bebas ego’ sekiranya berhasrat menewaskan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor lalu menunjukkan rakyat di satu-satu kawasan majoritinya menolak BN.

Bagaimanapun, katanya, undi yang berpecah disebabkan banyak parti bertanding telah menguntungkan serta memberi kelebihan kepada BN.

“Sebab itu Bersatu telah buat keputusan dalam Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) untuk memberi mandat kepada Presiden khususnya Biro Politik merencanakan strategi yang berkesan.

“Usaha ini bagi memastikan bukan sahaja parti tetapi Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhannya mampu memberikan saingan sengit atau kemenangan kepada calon-calon yang bertanding pada PRU-15 akan datang,” katanya pada sidang akhbar selepas program beli-belah raya untuk anak yatim dan fakir miskin di Pasaraya Mydin, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Cadangan Bersatu menyertai ‘khemah besar’ bersama Pakatan Harapan (PH) mendapat reaksi positif daripada beberapa pimpinan tertinggi parti antaranya Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ahli MPT, Dr. Muhammad Faiz Na’aman.

Mohd. Rafiq yang juga Ahli Biro Politik Bersatu berkata, meskipun cadangan itu menerima pelbagai maklum balas daripada pemimpin-pemimpin parti politik lain, namun ia lebih kepada pendapat peribadi masing-masing.

Tegasnya, paling penting adalah setiap parti harus membuat keputusan segera jika mahu menewaskan BN.

“Ada pihak komen positif dan ada juga yang tidak bersetuju. Tapi itu hanya bersifat peribadi.

“Justeru, parti harus buat keputusan kerana strategi perlu dirangka dan disegerakan. Kita tidak spesifik tapi terbuka untuk berjumpa dan berunding dengan mana-mana parti yang berlawanan dengan BN,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya