SUNGAI PETANI: Mahkamah Majistret di sini hari ini menangguhkan kes dua warga negara Myanmar yang dituduh bersubahat membunuh rakan senegara mereka di dalam stor ladang limau di Tikam Batu pada 17 April lalu.
Majistret Nurul Ainna Ahmad memutuskan demikian selepas terutuduh, Thing Maung Win, 39, dan Tun Soe, 42, tidak memahami pertuduhan yang dibacakan kepada mereka dalam bahasa Melayu.
Beliau kemudian menetapkan 15 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi tujuan penyediaan khidmat jurubahasa Myanmar.
Selain itu, tiada sebarang pengakuan dan jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hamizah Mat Shah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Dua warga Myanmar yang bekerja sebagai buruh itu dituduh bersama-sama membunuh Maung Tun Hlaing di dalam stor ladang limau, Lot 7670, Jalan Kampung Permatang Berangan Mukim Pinang Tunggal, Tikam Batu di sini pada pukul 11 malam, 17 April lalu. – UTUSAN