Kerusi Parlimen Batu Sapi akan kekal milik Warisan

Kerusi Parlimen Batu Sapi akan kekal milik Warisan

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN: Parti Warisan (Warisan) yakin kerusi Parlimen Batu Sapi akan kekal milik Warisan sekiranya jentera parti terus bekerja kuat.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, parti itu akan terus berusaha bagi memastikan kerusi parlimen itu akan kekal milik Warisan.

“Kalau dulu kita menang di Batu Sapi semasa Barisan Nasional (BN) kuat, semasa mereka bersatu dengan MCA, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), takkan sekarang tidak boleh menang, apa yang penting kena ada kesatuan umat.

“Kita kena kerja kuat kerana keyakinan semata-mata tanpa bekerja, tidak akan membawa kejayaan,” katanya semasa majlis berbuka puasa di Masjid Al-Falah Kampung Karamunting, semalam.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, Warisan akan terus mempertingkatkan kesiapsiagaan parti bagi berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Jika dilihat parti yang banyak menerima tekanan ialah Warisan kerana orang kita dibeli, ditekan dengan bayaran cukai dan dimasukkan ke penjara tapi, pemimpin Warisan masih lagi bertahan.

“Ini jelas menunjukkan bahawa parti ini mempunyai nilai dan disiplin yang tinggi. Saya tekankan kena ada disiplin dalam politik, kita selaku pemimpin harus pastikan parti ini ada disiplin dan jangan hanya kita kejar projek,” katanya.

Mengenai kesatuan pembangkang, Mohd. Shafie berkata, Warisan kekal dengan pendirian bahawa gabungan pembangkang bukan lagi pendekatan terbaik untuk meraih kemenangan pada PRU-15.

Beliau berkata, dua pilihan raya negeri (PRN) yang lalu iaitu di Melaka dan Sarawak membuktikan biarpun pembangkang bersatu namun, tetap juga kalah.

“Kita sokong Pakatan Harapan (PH) di Melaka, kalah juga dan PKR tidak mendapat kerusi. Semasa di Sarawak, PKR juga dapat kosong (kerusi) jadi, kita kena lihat dan mendengar suara rakyat.

“Rakyat sudah bersuara, kita kena dengar dan selaku pemimpin tidak boleh paksa umat memilih kita. Selaku wakil rakyat, kita kena dengar kerana rakyat nak meletakkan negara ini ke landasan yang betul,” katanya.

Pada Ahad, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew berkata, parti itu mengalu-alukan kerjasama dengan Warisan menjelang PRU15 bagi membentuk sebuah gabungan yang kuat seperti PRU yang lepas.

Jelas beliau, gabungan sebegitu penting bagi membolehkan mereka memenangi lebih banyak kerusi menjelang PRU-15.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya