KOTA KINABALU: Masalah kerosakan jalan raya yang sering menjadi rungutan pengguna di Batu 32 Sandakan-Telupid akan selesai apabila Lebuh Raya Pan Borneo Zon Timur siap dalam tempoh dua tahun lagi.
Demikian jaminan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin kepada rakyat di negeri ini.
Beliau berkata, apabila empat pakej lebuh raya daripada Kinabatangan-Telupid itu siap sepenuhnya, tiada lagi isu jalan rosak yang terpaksa dilalui oleh pengguna di kawasan pantai timur Sabah.
Isu kerosakan jalan ini sering ditularkan di media sosial dengan menyasarkan kerajaan, pemimpin dan Jabatan Kerja Raya yang dianggap gagal melakukan kerja.
Namun, di pihak kementerian, beliau akan memastikan syarikat konsesi akan terus memantau dan menyelenggara kerosakan jalan yang berlaku agar tidak menimbulkan kesukaran kepada pengguna.
“Sudah menjadi tanggungjawab pihak konsesi yan dilantik untuk menyelenggara jalan-jalan terlibat kerana ia terkandung dalam kontrak yang telah dipersetujui.
“Maka, kita akan memastikan dari masa ke semasa, syarikat konsesi akan melakukan kerja-kerja pembaikan demi keselamatan pengguna,” katanya semasa program berbuka puasa kementeriannya baru-baru ini.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan tidak bercadang untuk membina semula jalan raya di laluan yang sama kerana ia akan menyebabkan pembaziran dari segi kos perbelanjaan.
Dalam pada itu, Bung Moktar juga meminta semua Pejabat Daerah dan Majlis Tindakan Daerah untuk mengemukakan status terkini jalan-jalan yang memerlukan penyelenggaraan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) negeri bagi tindakan segera.
Sekiranya jalan yang memerlukan pembaikan berada di bawah kendalian KKR maka, beliau akan memohon dana untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dengan kadar segera.
Dalam majlis itu, Bung Moktar turut menyampaikan sumbangan kepada 40 orang anak yatim dari Rumah Amal Kasih Kingfisher dan Rumah Anak Kesayangan Sembulan.-UTUSAN