JOHOR BAHRU: Bagi memastikan tidak ada penternak ayam mengambil kesempatan menaikkan harga, kerajaan bersetuju menambah subsidi ayam untuk mengekalkan harga runcit bahan mentah itu kekal RM8.90 sekilogram (kg).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara tersebut diputuskan pada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang diadakan baru-baru ini.
Menurut beliau, hasil dapatan mesyuarat itu bersetuju agar harga ayam segar perlu dikekalkan RM8.90 kg sehingga 5 Jun ini.
“Oleh kerana ada kenaikan kos, kerajaan setuju menambah subsidi bagi menampung kos supaya harga runcit kekal.
“Penambahan subsidi berapa itu akan diumum kemudian, namun dari segi prinsipnya, harga siling perlu diteruskan sehingga 5 Jun ini dahulu sebelum perkara lain diputuskan nanti,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja di Stesen Minyak Petronas di Jalan Lingkaran Dalam, di sini hari ini.
Februari lalu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dilaporkan berkata, pemberian subsidi sebanyak 60 sen per kilogram (kg) kepada penternak ayam adalah selepas mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 per kg dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 per kg.
Bagi subsidi telur, jemaah menteri bersetuju memberi sebanyak lima sen sebiji untuk semua kategori.
Keseluruhan implikasi kewangan kepada kerajaan bagi melaksanakan pemberian subsidi ayam dan telur di seluruh negara untuk tempoh empat bulan bermula Februari adalah sebanyak RM528.52 juta.- UTUSAN