KUALA LUMPUR: Kerajaan membuat keputusan untuk menyediakan dos penggalak kedua kepada individu berusia 60 tahun dan ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi.
Malah, dos penggalak turut disediakan untuk individu yang berusia 12 tahun dan ke atas yang mempunyai masalah sistem imun.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kajian-kajian saintifik serta kajian kohort Malaysia yang diteliti oleh Panel Kumpulan Kerja Teknikal (TWG).
Katanya, kajian menunjukkan individu berusia 60 tahun dan ke atas dengan komorbiditi seperti penyakit paru-paru, penyakit jantung, penyakit buah pinggang, penyakit hati dan diabetes berisiko lebih tinggi untuk mendapat gejala serius dan kematian dalam Covid-19.
“Oleh itu, individu berusia 60 tahun dan ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi boleh diberikan dos penggalak kedua dengan selang masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan selepas tarikh dos penggalak pertama.
“Individu berusia 12 tahun dan ke atas yang mempunyai masalah sistem imun boleh diberikan dos penggalak dengan selang masa sekurang-kurangnya 28 hari selepas tarikh dos kedua,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak mewajibkan atau memaksa mana-mana individu untuk mengambil dos penggalak kedua tersebut manakala perkara seperti janji temu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Pada masa sama, Khairy berkata, bagi individu yang berusia 60 tahun dan ke atas yang sihat dan tidak mempunyai komorbiditi berisiko tinggi, mereka perlu berbincang dengan pengamal perubatan bagi mengesyorkan pengambilan dos penggalak kedua berdasarkan pertimbangan mereka.
“Buat masa ini, vaksin mRNA Comirnaty (Pfizer-BioNTech) merupakan vaksin yang disyorkan bagi dos penggalak kedua berdasarkan data saintifik yang tersedia.
“Bagi individu berusia 60 tahun dan ke atas yang telah lengkap mengambil dos penggalak dan didapati mengalami jangkitan Covid-19, mereka layak menerima dos penggalak kedua dalam tempoh tiga bulan selepas mereka pulih sepenuhnya,” katanya.
Walau bagaimanapun katanya, pelaksanaan terbaharu itu tidak akan menjejaskan status vaksinasi lengkap individu berisiko tinggi yang tidak mengambil dos penggalak kedua tersebut.
“Kementerian Kesihatan kini sedang mengemas kini Garis Panduan Klinikal yang akan memperincikan pelaksanaan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy mengumumkan Kementerian Kesihatan bersetuju menerima permohonan bagi individu yang ingin ke luar negara untuk mendapatkan dos penggalak kedua bagi memenuhi keperluan ke luar negara.
“Sebagai contoh, terdapat sesetengah negara di benua Eropah yang tidak mengiktiraf vaksin Sinovac dan Sinopharm sebagai dos primer dan dos penggalak.
“Justeru, individu yang ingin ke luar negara boleh diberikan dos penggalak kedua selepas selang masa sekurang-kurangnya satu bulan daripada dos penggalak pertama bagi memenuhi keperluan ke luar negara,” katanya. – UTUSAN