Kerajaan galak kilang sarung tangan getah beroperasi di Pantai Timur

Kerajaan galak kilang sarung tangan getah beroperasi di Pantai Timur

ZURAIDA Kamaruddin melihat proses pembuatan sarung tangan getah ketika mengadakan lawatan ke kilang Meditech Gloves Sdn. Bhd. di Nilai, Seremban. Malaysia sedia tawar kepakaran dalam teknologi getah asli kepada Turkiye - GAMBAR HIASAN/UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan akan menggalakkan lebih banyak kilang-kilang pengeluaran sarung tangan getah di negara ini untuk menjalankan operasi mereka di kawasan Koridor Lateks Pantai Timur (KLPT) iaitu melibatkan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia, Datuk Dr. Zairossani Mohd. Nor berkata, di kawasan tersebut akan lebih banyak kilang memproses lateks dibina, oleh itu, sudah tentu ia memudahkan untuk kilang-kilang sarung tangan getah ini memperoleh bekalan mentah mereka.

ZAIROSSANI MOHD. NOR

“Kilang-kilang memproses lateks akan ditubuhkan di koridor ini, justeru kami mahu menggalakkan lebih banyak kilang-kilang pengeluar sarung tangan getah untuk beroperasi di Pantai Timur.

“Di sana nanti mereka akan bersepadu, ada hasil lateks yang boleh terus mereka hasilkan produk di sana. Ketika ini kebanyakan kilang penghasilan sarung tangan getah beroperasi di Pantai Barat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Lawatan Rasmi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin ke kilang Meditech Gloves Sdn. Bhd di Nilai, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Majlis Getah Malaysia, Dr. Daroyah Alwi dan Ketua Pegawai Eksekutif Meditech Gloves Sdn. Bhd., Fairuz Nasir.

Zairossani berkata, kawasan pengeluaran getah di tiga buah negeri terlibat membabitkan seluas 400,000 hektar daripada keseluruhan 1.04 juta hektar di seluruh negara.

“Kita punya kawasan pengeluaran getah sudah berubah, dahulu kawasan pengeluaran getah di Pantai Barat, tetapi sekarang berubah di Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan, Terengganu dan utara Perak,” katanya.

Sementara itu, Zuraida berkata, pengeluaran lateks tempatan ketika ini masih belum mencukupi bagi memenuhi permintaan dari pihak industri sarung tangan getah di negara ini.

“Jika kita lihat daripada keseluruhan industri pengeluaran sarung tangan getah di negara ini memang tidak cukup dan kebanyakan kilang masih bergantung kepada penggunaan getah sintetik. Jadi kita terpaksa mengimport dari negara lain seperti Thailand. 

“Bagaimanapun pengeluaran lateks di negara ini bagi menampung penghasilan produk-produk lateks yang lain, jika ia hanya tertumpu kepada penghasilan sarung tangan getah, pengeluaran lateks kita adalah mencukupi. Sehubungan itu, kewujudan KLPT turut bertujuan memastikan industri sarung tangan getah dalam negara mempunyai bekalan lateks yang cukup,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Zuraida menambah, permintaan untuk sarung tangan getah negara meningkat sehingga lebih 25 peratus didorong oleh suasana pandemik Covid-19 yang dihadapi di seluruh dunia.

“Bagaimanapun, dalam fasa peralihan ke endemik, masyarakat dunia sudah menyedari kepentingan untuk penggunaan sarung tangan getah bagi tujuan menjaga kebersihan dan keselamatan mereka.

“Oleh itu, saya berpandangan, permintaan terhadap sarung tangan getah tetap akan meningkat. Trend sudah ada sekarang, orang ramai amat mengambil berat tentang kesihatan dan kebersihan mereka, jadi penggunaan sarung tangan getah sudah menjadi kebiasaan,” katanya yang turut memberitahu nilai eksport sarung tangan getah negara kini mencecah sebanyak RM54.8 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya